Pages

Monday, October 19, 2015

EMPAT SAMSENG JALANAN DITAHAN


Empat samseng jalanan ditahan


Ledang - Tindakan berani empat samseng jalanan menunggang motosikal secara merbahaya termasuk melawan arus memakan diri apabila ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan, pada 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 7.20 malam di jalan besar dekat Parit Bunga.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan 33 anggota dan masing-masing seorang pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dan penguat kuasa Majlis Daerah Tangkak.

“Mereka ditahan kerana membawa motosikal secara merbahaya semasa pengguna lain turut berada di jalan tersebut.

“Perbuatan mereka boleh mengundang bahaya bukan hanya kepada diri tetapi juga pengguna lain,” katanya dalam sidang media di IPD Ledang, semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 26 tahun dengan dua daripada mereka berasal dari daerah ini dan selebihnya dari Muar.

Katanya, tiga daripada mereka didapati tidak memiliki lesen memandu dan kesalahan kesemua suspek adalah di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, pada masa sama, pihaknya menyita empat motosikal terbabit kerana tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

“Awal bulan ini, kita telah menahan dua samseng jalanan dengan seorang daripada mereka adalah remaja berusia 14 tahun dan telah dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Melaka.

“Kita ingatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya jangan benarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen kerana mereka boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Mohd Salleh berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi tumpuan samseng jalanan merempit seperti di Lebuhraya Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ), Bukit Gambir dan Parit Bunga.

Katanya, pihaknya memandang serius kegiatan samseng jalanan dan sentiasa mempertingkatkan langkah pencegahan menerusi Ops Samseng Jalanan yang diadakan setiap minggu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor