Pages

Monday, October 19, 2015

LPT2 TERUS BERMANDI DARAH, SEORANG LAGI MAUT


LPT2 terus bermandi darah, seorang lagi maut


Kemaman – Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) terus bermandi darah apabila satu lagi kemalangan maut berlaku di Kilometer 317.9 dekat Kerteh, kira-kira jam 1.25 pagi tadi iaitu hanya selang 26 jam selepas nahas tragis mengorbankan nyawa seorang bapa dan anak sulungnya.

Dalam kemalangan itu, seorang pengawal keselamatan maut manakala rakannya parah apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan semasa sedang berkonvoi pulang ke Pahang dari Himpunan Fastaqim (H60K) di Kota Bharu, Kelantan bersama 10 motosikal lain.

Samsulhaimi Che Mat, 46, dari Kampung Baru Sungai Ling Dalam di Chenor yang membonceng motosikal menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, mangsa merupakan ahli ‘Alternative Riding Club’ (ARC) Pahang yang bernaung di bawah Pas dan aktif mengikuti banyak program kelab dan parti.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, seorang lagi mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai, Adib Ahmad Amin Abdul Zahar, 18, pula patah kaki kanan.

Katanya, kejadian berlaku ketika konvoi motosikal itu dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan sebelum motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa tiba-tiba terbabas dengan sendiri dan melanggar besi pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Mangsa parah yang beralamat di Kampung Baru Chenor dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk diberi rawatan kecemasan dan kini ditahan di dalam wad. Mangsa yang maut pula dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya.

Jenazah Samsulhaimi kemudian dituntut pada jam 10 pagi tadi untuk disemadikan di kampung halamannya di Pahang.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor