
Permatang Pauh - Empat pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul satu pingat emas dan dua pingat perak ketika menyertai Fira Roboworld Cup di Daejon, Korea Selatan pada 4 hingga 9 Ogos lalu.
Pingat emas itu diperoleh bagi kategori mirosot, manakala dua pingat perak pula kategori simurosot.
Pelajar terbabit adalah Muhammad Farid Ramli, 24; Mohamad Akmal Zainodin, 20; Mohamad Syafiq Mohd Rafi, 20, dan Abdul Rashid Abdul Razak, 20.
Muhammad Farid berkata, ketika pertandingan itu, dua daripada lima robot mereka rosak, namun berkat kerjasama semua ahli kumpulan masalah itu diselesaikan.
Menurutnya, dia tidak menyangka akan memenangi dua kategori pada pertandingan itu kerana pasukan lain juga sangat hebat.
"Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan kami apabila robot itu rosak.
"Ketika itu, kami agak panik tambahan pula pasukan yang menjadi saingan kami hebat-hebat belaka, namun kami berjaya atasinya sehingga melayakkan kami ke pertandingan akhir,” katanya.
Sebelum ini, keempat-empat pelajar ini pernah meraih dua pingat emas bagi kategori mirosot dan kategori simurosot serta satu pingat gangsa bagi kategori Androsot dalam Fira Malaysia Cup and Congress 2015 yang berlangsung di Politeknik Ungku Omar pada Mei lalu.
Kejayaan mereka dalam Fira Malaysia Cup and Congress 2015 sekali gus melayakkan pasukan mereka mewakili Malaysia dalam pertandingan Fira Roboworld Cup yang berlangsung di Korea.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor