Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memerlukan peruntukan sebanyak RM19 juta daripada kerajaan bagi melaksanakan program kawalan gangguan gajah dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan datang.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbelanjaan itu meliputi program komuniti sistem pagar elektrik gajah (SPEGKOM) sebanyak RM12 juta dan pelaksanaan pelan tindakan konservasi gajah kebangsaan (NECAP) sebanyak RM7 juta.
Menurutnya, melalui SPEGKOM, ia melibatkan program mitigasi konflik manusia dan gajah berasaskan komuniti yang melibatkan penduduk kampung dalam menjalankan penjagaan, pemantauan dan pengurusan 16 lokasi sistem pagar elektrik gajah (SPEG) mudah alih di seluruh negara.
“Program ini melibatkan penyaluran dana kepada pihak JKKK atau koperasi penduduk kampung sebagai bayaran untuk menguruskan SPEG mudah alih yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, di sini, semalam.
Menurutnya, menerusi program SPEGKOM itu, sebanyak 10 lokasi di negeri Johor, Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu dipilih untuk melaksanakan program tersebut yang mana penduduk kampung terlibat dibekalkan dengan set SPEG mudah alih dengan pemasangan secara bergotong-royong sepanjang dua kilometer.
Beliau berkata, di bawah pelaksanaan NECAP pula, kos sebanyak RM7 juta akan digunakan antaranya untuk program kesejahteraan rakyat bebas gangguan gajah, program mengarusperdanakan konservasi gajah, kajian populasi dan sistem amaran awal.
“Mewakili kerajaan persekutuan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Pahang atas usaha pemuliharaan alam semula jadi sejak dahulu lagi dengan mewartakan kawasan hutan yang sangat luas seperti Taman Negara dan Rezab Hidupan Liar sebagai kawasan perlindungan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor