Pages

Sunday, June 14, 2015

STESEN MINYAK RUGI RM 1,700 KENA SAMUN


samun


Bukit Mertajam - Dua lelaki bersenjatakan parang melarikan wang tunai sebanyak RM1,700 dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Jalan Tanah Liat, di sini malam semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian 8.40 malam itu, dua lelaki memakai topi keledar berpenutup yang menaiki sebuah motosikal masuk ke dalam kedai di stesen minyak berkenaan dan meluru ke arah juruwang yang sedang bertugas.

"Ketika itu, terdapat dua pekerja wanita di kaunter juruwang itu dan dua lelaki berkenaan bertindak mengeluarkan parang panjang sambil mengarahkan mereka mendiamkan diri.

"Seorang daripada suspek bertindak mengacukan parang ke arah dua pekerja berkenaan, sebelum mereka (suspek) mengambil wang dari mesin pengira dan melarikan diri menaiki sebuah motosikal," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dua lelaki dipercayai berusia lingkungan 20-an itu melarikan diri menaiki motosikal jenis Kriss berwarna hitam yang diletakkan di luar kedai di stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata dua pekerja itu tidak mengalami kecederaan.

"Berdasarkan rakaman CCTV yang terdapat dalam premis berkenaan, kejadian itu berlaku tidak sampai lima minit dan wajah dua lelaki berkenaan juga tidak dapat dirakamkan berikutan mereka memakai topi keledar," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor