Gua Musang – Sasterawan Negara, A. Samad Said secara rasmi menamatkan desas-desus yang mula tersebar sejak semalam apabila menyertai DAP dalam satu majlis anjuran parti pembangkang itu di sini pada Sabtu
Pengisytiharan kemasukan beliau diumumkan sendiri penasihat parti itu yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang serta turut dirakam dan dimuat naik menerusi akaun laman sosial Twitter milik DAP Malaysia.
Kemasukan A. Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, 80 tahun; ke dalam parti itu turut dimeriahkan dengan acara penyerahan kad keahlian rasmi DAP yang diserahkan sendiri oleh Kit Siang.
“Sasterawan Negara Sdr. @asamadsaid menerima kad keahlian DAP beliau dari Ketua Parlimen DAP @limkitsiang,” kicau DAP Malaysia secara ringkas menerusi laman Twitter parti itu awal petang Sabtu.
Pengumuman itu turut disaksikan oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam majlis penyerahan rumah mangsa banjir anjuran pertubuhan Gabungan Impian Kelantan.
Ironi, agak aneh apabila majlis tersebut berlangsung di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang, Kelantan, negeri dikuasai Pas; bukan di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang yang ditadbir oleh parti berkenaan.
Tiada kelibat kehadiran wakil Pas serta kerajaan negeri Kelantan dalam program itu dan ia menimbulkan tanda tanda tanya apakah Pas tidak dijemput atau memang sengaja tidak diberitahu bagi memalukan imej Pas sendiri.
Ramai penganalisis melihat acara itu sengaja dibuat di Kelantan bagi menunjukkan kepada Pas yang memutuskan tahaluf siyasi atau hubungan kerjasama politik dengan DAP menerusi usul khas pada muktamar di Selangor.
Timbul persoalan kenapa pengisytiharan kemasukan A. Samad Said dibuat secara tergesa-gesa pada waktu kurang sesuai ekoran keretakan hubungan DAP dengan Pas yang semakin teruk akhir-akhir ini ibarat retak menanti belah.
Ada cakap-cakap politik mendakwa, tindakan DAP sengaja buat program itu di Kelantan sebagai dakyah bagi menarik minat rakyat negeri Serambi Mekah tersebut kononnya parti berkenaan berbilang kaum dan bukan rasis.
Bukanlah luar biasa bagi DAP cuba menonjolkan seramai mungkin ikon Melayu menyertai parti itu dan sebagai persediaan awal menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang jika Pas muktamad memutuskan hubungan.
Hakikatnya calon Melayu hanya alat boneka DAP kerana agenda parti itu sendiri jelas disebut terang dalam perlembagaan parti tersebut untuk menghapuskan segala hak istimewa Bumiputera jika memerintah Malaysia.
Memang sebelum ini ada beberapa individu Melayu menjadi ADUN dan ahli parlimen mewakili DAP, tetapi pengaruh mereka dalam ‘mencorakkan’ hala tuju parti itu langsung sifar ibarat melukut di tepi gantang.
Tidak perlu lihat Singapura yang diperintah PAP, parti asal DAP di Malaysia; sebaliknya tengok sahaja apa berlaku di Pulau Pinang bagaimana layanan mereka terhadap masyarakat Melayu dan wakil Pas dalam kerajaan negeri itu.
Samad yang lebih sinonim dengan panggilan Pak Samad mula berjinak dalam politik menerusi kempen antidasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.
Anehnya, beliau tidak pernah mengkritik dasar kerajaan DAP Pulau Pinang yang tiada memartabatkan bahasa Melayu malah semua papan tanda nama jalan di negeri itu dimasukkan tulisan Cina seperti berada di Hong Kong.
Sebelum menyertai DAP, A. Samad cukup aktif dengan kegiatan masyarakat dan pernah memimpin gerakan pembaharuan pilihan raya, dikenali Bersih yang menuntut agar proses pengundian dijalankan dengan adil.
Lucunya, proses pemilihan DAP yang berlangsung tahun lalu teruk dicemari unsur manipulasi dan menyebabkan semua pemenang sehingga kini masih lagi tidak diiktiraf sah oleh Pendaftar Pertubuhan.
Sumber
Sumber
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor