Rawang - Seorang peniaga mendakwa kerosakan pada kenderaannya pada 1 Jun lalu disebabkan tindakan sebuah stesen minyak di Jalan Rawang-Kundang di sini, mencampurkan bahan bakar tersebut dengan air.
Lim Khoon Guan, 31, berkata, kereta jenis Proton Exora yang digunakan sejak tiga tahun itu tiba-tiba terhenti enjinnya beberapa meter dari stesen minyak itu sejurus selesai mengisi petrol pada jam 7 malam.
Menurutnya, selepas menghantarnya ke Pusat Servis Proton tiada kerosakan berlaku pada kenderaan tersebut sebelum mekanik memeriksa tangki minyak.
“Ada air dalam tangki yang telah bercampur dengan minyak petrol. Saya terpaksa tanggung kos cuci tangki sebanyak RM400 dan terpaksa isi semula petrol baru.
“Laporan polis telah dibuat kerana terdapat unsur mencurigakan di stesen minyak berkenaan dan saya menuntut ganti rugi disebabkan kerosakan dialami,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, dia juga telah ke stesen minyak berkenaan untuk menuntut penjelasan dan tuntutan ganti rugi namun jawapan yang diterima kurang memuaskan.
“Mereka minta masa untuk merujuk perkara itu dengan bahagian ibu pejabat dan akan maklumkan keputusan dalam tempoh seminggu.
Mereka beritahu kerosakan di bawah tanggungjawab pemilik kerana tiada aduan berhubung perkara itu diterima stesen minyak berkenaan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Adun Rawang, Gan Pei Nei berkata, pihaknya telah memanjangkan perkara itu ke bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menjalankan siasatan kerana terdapat perkara mencurigakan.
“Selain itu kita akan membuat maklum balas dengan pihak stesen minyak secara bertulis dan mereka diminta membuat penjelasan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor