Shah Alam - Seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah Methamphetamine seberat 1,482.5 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dua tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes terhadap tertuduh, Muhammad Asad, 26, melampaui keraguan munasabah.
Hakim berkata pembelaan tertuduh bahawa dia telah diugut bunuh untuk mengikat dadah di kakinya oleh seorang penumpang yang dikenali semasa dalam tandas di balai ketibaan KLIA hanya rekaan semata-mata.
Muhammad Asad didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan tandas, belakang kawasan tuntutan bagasi B, Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, Bangunan MTB, KLIA, pada jam 10 malam, 14 Mei 2013.
Dadah tersebut ditemui diikat pada keting kaki kanan dan kiri tertuduh.
Muhammad Asad dihukum mengikut Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Seramai lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor