Pages

Monday, June 15, 2015

WAN AZIZAH AKUI HUBUNGAN PR PINCANG


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail


Shah Alam - PKR hari ini mengakui wujud masalah dalam perhubungan PR yang perlu ditangani segera oleh pimpinan pakatan itu.

‎Mengakui keperluan menyemak semula bentuk kerjasama PR, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, semakan tersebut bertujuan memperkukuh gabungan parti-parti politik yang progresif serta selaras dengan Dasar Bersama PR.

"Semakan tersebut sehaluan dengan aspirasi rakyat yang terus menuntut perubahan.

"Maka dengan ini, PKR mencadangkan agar perbincangan perlu diteruskan dengan parti-parti politik dan juga badan-badan bukan kerajaan dalam kerangka besar masyarakat madani lainnya demi merangka hala tuju dan masa depan untuk membina Malaysia yang gagah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan rakyat adalah tanggungjawab bersama PR.

"Isu-isu bersama yang menuntut reformasi ekonomi dan pendidikan, pembanterasan gejala rasuah dan salah guna kuasa serta menentang kezaliman kerajaan harus terus diperjuangkan.

"Model pentadbiran Negeri Selangor yang berpegang kepada Dasar Bersama PR telah menghasilkan kejayaan dalam beberapa dasar termasuk dasar perumahan, bantuan mikro kredit dan pendidikan mampan yang kini menjadi pemangkin dalam kita menuntut perubahan lanjut di peringkat pusat," katanya lagi.

Justeru itu, beliau menyeru semua pimpinan tertinggi parti agar berusaha memperkukuhkan muafakat dan persefahaman bersama yang dipupuk.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor