Pages

Monday, June 8, 2015

BENTONG: SEEKOR LAGI GAJAH LIAR DITANGKAP


Seekor lagi gajah liar ditangkap


Seekor lagi gajah liar berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan dengan kerjasama penduduk kampung di kawasan berhampiran Felda Chemomoi sekitar jam 4 petang kelmarin.

Penduduk Kampung Manchis, Lee Ah Kow berkata, gajah terbabit merupakan tangkapan kelapan yang berjaya dibuat sejak tahun lalu.

“Pada tahun lepas, enam ekor gajah berjaya ditangkap. Sekitar April lalu, seekor gajah berjaya ditawan dan terbaru adalah pada hari semalam (kelmarin).

“Gajah itu ditangkap dan kini sedang diikat sementara menanti pihak Jabatan Perhilitan mengambilnya untuk dipindahkan ke tempat lain,” katanya.

Tambahnya, dengan penangkapan gajah terbabit sedikit sebanyak mengurangkan rasa bimbang penduduk terutama pemilik ladang dan kebun di kawasan Telemong, Manchis dan Felda Chemomoi.

“Pekebun kerugian beribu-ribu ringgit sehari akibat kemusnahan yang dibuat oleh sekumpulan gajah liar terbabit,” katanya.

Katanya, setakat ini penduduk tidak dapat memastikan berapakah baki gajah liar yang masih tinggal berkeliaran di kawasan hutan berhampiran tiga kampung terbabit.

“Kadang kala kami terserempak dengan sekumpulan lapan ekor gajah, kadang kala 10 ekor gajah dalam satu kumpulan. Tidak menentu,” katanya.

Menurutnya lagi, pelbagai ikhtiar telah diambil pekebun dan peladang bagi memastikan gajah liar terbabit tidak menganggu kawasan kebun dan ladang mereka.

“Kami telah melakukan pelbagai cara termasuk memasang lampu, memasang mercun dan meletakkan radio bagi menghalau gajah-gajah itu namun taktik kami sudah tidak lagi berkesan.

“Kami juga telah memohon pihak kerajaan negeri untuk memasang pagar elektrik di kawasan terlibat dan berharap tindakan terbabit dapat diambil segera,” katanya.

Ah Kow mewakili penduduk khususnya pekebun dan peladang merakam setinggi penghargaan atas usaha Jabatan Perhilitan menangkap gajah-gajah liar terbabit.

“Kami harap penangkapan ini dapat dilakukan dengan lebih kerap bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kepada penduduk kampung sekitar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor