Pages

Saturday, May 9, 2015

AKTA RAHSIA RASMI TUTUP DOSA RASUAH

'Akta Rahsia Rasmi tutup dosa rasuah'




KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dikaji semula dalam usaha membendung masalah rasuah di negara ini.

“OSA perlu disemak semula. OSA ini telah menyembunyikan ribuan dosa, kemungkinanlah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Transformasi Barah Ali Baba di Bumi Merdeka anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam, semalam.

Menurutnya, sepatutnya mana-mana dokumen kerajaan yang melibatkan perbuatan rasuah boleh didedahkan untuk memastikan Malaysia bersih daripada rasuah.

“Janganlah segala-galanya mesti dirahsiakan dan kita hanya boleh mendedahkan sesuatu sesudah menteri (ubah status dokumen) sebagai tidak lagi rahsia, atau (perlu) pergi mahkamah untuk dapatkan keputusan supaya perkara tertentu didedahkan untuk pengetahuan umum.

“Saya rasa itu tak kena, kalau betul kita nak banteras rasuah, kita mesti (tangani isu) akar umbi. Sama juga saya rasa orang yang memberi rasuah ini perlu diberikan hukuman sekali ganda (lebih berat berbanding penerima) yang ditahan,” katanya.

Tengku Razaleigh juga mencadangkan kuasa menteri kewangan yang diberikan oleh Parlimen melalui Akta Prosedur Kewangan 1957 disemak semula supaya pemberian kontrak kerajaan lebih telus.

“Kalau kita nak kawal soal rasuah dan sebagainya, (kerajaan) mesti semak Akta Prosedur Kewangan. Akta ini bagi kuasa penuh kepada menteri kewangan oleh Parlimen, jadi banyak kelemahan di situ,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Tengku Razaleigh berkata, pada masa ini, menteri kewangan mempunyai kuasa untuk menganugerahkan kontrak rundingan terus kepada mana-mana individu atau syarikat.

“Sungguhpun begitu, tanggungjawab (kerajaan) kepada rakyat adalah besar. Ini bukan harta kita, ini harta rakyat, itu duit rakyat yang kita kumpul menerusi cukai dan macam-macam lagi jadi kita tidak boleh guna sewenang-wenangnya,” katanya.

Menurutnya, kaedah terbaik pemberian kontrak ialah melalui tender terbuka.

“Saya bukan marah pada kerajaan, saya nak beritahu ini adalah kelemahan yang ada dalam sistem kita kerana kita salah gunakan kuasa yang diberi oleh Akta Prosedur Kewangan. Saya tahulah akta ini kerana saya gunakan kuasa di bawah akta ini semasa saya di Kementerian Kewangan dahulu, tetapi kita tidak pernah salah gunakannya,” katanya yang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari 1976 hingga 1984.

Kelantan berhak dapat royalti

Sementara itu, mengulas isu royalti petroleum untuk Kelantan yang kembali hangat diperkatakan semasa PRK Pengkalan Kubor bulan lalu, Tengku Razaleigh berkata, negeri itu berhak menerima bayaran royalti daripada Petronas.

“Memang ada (minyak di Kelantan). (Jika Petronas) kata minyak yang jumpa dekat (Thailand) itu tak termasuk dalam kira-kira (bayaran royalti), apakah perairan dekat Siam itu bukan Malaysia punya?

“Kalau Malaysia punya (dan kedudukannya di) utara, mesti Kelantan (punya perairan),” katanya yang ditemui selepas sidang media itu.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan jawatankuasa khas yang ditubuhkan mendapati tiada hasil minyak ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai Timur termasuk di Kelantan, menyebabkan negeri itu tidak layak menerima bayaran royalti lima peratus daripada Petronas seperti dalam perjanjian yang ditandatangani pada 1975 dengan syarikat minyak negara itu.

“Tak ada, tak ada, tak ada,” kata Tengku Razaleigh ketika ditanya sama ada perjanjian asal Petronas dengan kerajaan Kelantan ada menyebut mengenai had lingkungan kawasan penemuan minyak.
Tengku Razaleigh yang merupakan Pengerusi Petronas pada masa itu berkata, Petronas bersetuju membuat pembayaran royalti sebanyak lima peratus kepada mana-mana negeri yang mempunyai sumber petroleum.

“Tidak kira dari mana punca (petroleum), sama ada jumpa dalam negeri (di darat) atau pun luar kawasan (perairan) negeri, tak kira tiga batu nautika atau atas bumi, asalkan jumpa minyak di kawasan (negeri) termasuk perairan, kita bayar lima peratus,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, perjanjian yang ditandatangani oleh Kelantan sama dengan perjanjian antara Petronas dan negeri lain termasuk Sarawak.

“Perjanjian yang kita (Petronas) tandatangani (dengan Kelantan) dulu berdasarkan kepada perjanjian yang kita tandatangani dengan Sarawak. Masa itu kerajaan Sarawak saman kerajaan Pusat, mendakwa bahawa kerajaan Pusat tidak berhak dapat bayaran royalti sebanyak lima peratus.

“Saya pergi berunding dengan (Ketua Menteri Sarawak pada masa itu) Tun Abdul Rahman Ya’kub supaya tarik balik (saman) kerana Malaysia baru ditubuhkan, kita tak nak bergaduh sesama kita,” jelasnya.

Menurutnya, perjanjian sama kemudian digunakan untuk negeri-negeri lain berdasarkan arahan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada masa itu yang mahu perjanjian seragam mengenai bayaran royalti minyak digunakan di semua negeri.

Selain itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau menyokong tuntutan kerajaan Kelantan terhadap pembayaran royalti itu pada 2009 kerana tahu isi kandungan perjanjian tersebut.

“Saya sokong (bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) bukan kerana saya sokong Pas, saya sokong kerana perjanjian itu saya yang tandatangani, saya kena setuju apa yang saya tandatangan,” katanya.

Salah jika GST digunakan untuk bayar hutang kerajaan

Sementara itu, menyentuh mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bermula April 2015, Tengku Razaleigh berkata, cukai itu tidak sepatutnya diperkenalkan jika tujuannya untuk mengumpul hasil dan mengurangkan hutang yang ditanggung kerajaan.

“Tetapi kalau kita perkenalkan GST kerana kita nak setiap rakyat di Malaysia yang berkemampuan menyumbang terhadap pembangunan ekonomi (dengan) membayar cukai, saya rasa bagus kerana bukan semua orang di Malaysia ini menyumbang (kepada hasil kerajaan),” katanya.

Namun beliau mengingatkan pada masa ini, rakyat biasa yang tidak membayar cukai pendapatan sudah pun menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap barangan terutama yang diimport.

“Sungguhpun begitu, keadaannya berbeza sebab GST ini meliputi semua barangan. Jadi patutkah kita kenakan GST kerana dalam keadaan sekarang, kos hidup sedang meningkat, apabila kita perkenalkan cukai baru, banyak orang marahlah,” katanya.

Menurutnya, ada banyak cara lain kerajaan dapat menambah pendapatan untuk menyelesaikan hutang negara termasuk menaikkan cukai pendapatan, cukai arak dan tembakau.

Selain itu, walaupun berpendapat Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu menyeluruh dan menyentuh semua sektor dalam ekonomi, Tengku Razaleigh berkata, perkara utama yang perlu diperbetulkan ialah masalah rasuah.

“Mereka (perasuah) bukan makan suap RM10 atau RM20, kalau ada buku latihan (sekolah), tulis sampai ke hujung (angka) kosong, tak cukup ruang,” selorohnya.

Beliau turut menekankan supaya perbelanjaan kerajaan yang tidak penting dikurangkan dan lebih penekanan diberikan kepada perbelanjaan penting seperti dalam soal kesihatan, pelajaran dan latihan vokasional yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor