Sikap tidak berputus asa memasuki pertandingan tilawah al-Quran akhirnya memberikan rezeki yang tidak dijangka buat qari dari Raub, Muhammad Syaheed Sabri, 23, apabila dinobatkan sebagai Johan Qari pada pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat negeri Pahang di sini, semalam.
Pelajar tahun kedua jurusan Qiraat di World Islamic Science dan Education University, Jordan itu berkata, cuti semester selama lima bulan memberikan peluang kepadanya untuk menyertai pertandingan tersebut.
Menurutnya, kali terakhir dia menyertai pertandingan itu adalah pada 2013 dan mendapat tempat kedua.
“Kebetulan tahun ini cuti semester dan banyak pihak yang memberi sokongan supaya saya mengambil bahagian.
“Mungkin sudah ditetapkan rezeki saya dan mendapat johan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Anak kelima daripada 11 adik-beradik itu berkata, dia mendapatkan bimbingan dari segi taranum tenaga pengajar pakar yang juga peserta tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.
Bagi Johan Qariah, Siti Husna Hassan, 23, wakil dari Bentong berkata, ini kali ketiga dia mengambil bahagian selepas tahun 2011 dan 2012.
Anak sulung dari enam adik-beradik itu yang sedang mengikuti Kursus Sijil Tilawah Taranum Al-Quran di Darul Quran, Kuala Kubu itu ternyata terharu dengan kemenangan yang diperoleh.
“Saingan yang diterima amat sengit dan saya bersyukur dinobatkan sebagai johan.
“Usaha kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) yang prihatin terhadap penguasaan al-Quran ini amat bagus. Saya harap usaha ini berterusan bagi melahirkan generasi celik al-Quran pada masa akan datang,” katanya.
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM7,000, pakej menunaikan umrah, piala dan sijil yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah agar membaca al-Quran dijadikan amalan harian kerana kitab suci itu memberi petunjuk dalam pelbagai aspek kehidupan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor