Pages

Saturday, April 11, 2015

NAJIB: CATATAN FACEBOOK NGA ADALAH FITNAH


Najib Tun Razak



Kuala Lumpur - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau sedia menerima cadangan dan kritikan terhadap kepimpinannya, tetapi sebarang tulisan berunsur fitnah sama sekali tidak boleh diterima.

Dalam catatan terbarunya dalam Facebook rasmi beliau hari ini, Najib berkata, beliau terpaksa mengambil tindakan selepas catatan anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming mempunyai unsur fitnah serta berniat jahat.

"Saya sedia menerima cadangan dan kritikan terhadap kepimpinan, dasar dan pentadbiran saya tetapi catatan Ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming di laman Facebooknya bersama dengan gambar mengenai saya dan isteri adalah fitnah dan tulisan yang berniat jahat.

"Oleh itu, saya telah mengarahkan peguam saya untuk menghantar kepada Nga Kor Ming satu surat tuntutan mohon maaf dan sekiranya gagal berbuat demikian, saya akan mengambil tindakan undang-undang selanjutnya," katanya.

Semalam, Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, telah menghantar surat tuntutan kepada Nga, yang juga Adun Pantai Remis, Perak berhubung kenyataan Facebook bertarikh 29 Mac itu. 

Kenyataan yang dimaksudkan itu didakwa dimuat naik dalam satu status bergambar bertajuk 'Nga Kor Ming: Siapa PM Malaysia Yang Sebenar? Jawab!'.

Dalam surat itu, firma guaman berkenaan menuntut Nga supaya mengeluarkan status itu daripada Facebooknya dan berhenti menyiarkan kenyataan berunsur fitnah berkaitan isu terhadap Najib dan Rosmah dalam tempoh 48 jam mulai semalam.

Ia juga menuntut Nga supaya mengeluarkan permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat dan menarik balik artikel yang didakwa fitnah itu mengikut syaratnya, juga dalam tempoh 48 jam.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor