Kota Bharu - Usaha licik cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membungkus ketum seperti sayur, gagal selepas seorang lelaki ditahan dalam serbuan di Kampung Tok Deh, Rantau Panjang semalam.
Serbuan terdiri daripada pegawai dan anggota dalam tugas rondaan Unit Pencegahan Penyeludupan Rantau Panjang itu berjaya merampas 60 kilogram daun ketum yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat pada jam 9.10 pagi, anggotanya mengekori sebuah kenderaan pasukan empat roda jenis Nissan Navara bernombor pendaftaran Thailand sehingga ke sebuah stor tidak bernombor di kampung itu.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut menjumpai susunan bakul di dalamnya mengandungi 360 bungkusan mengandungi daun-daun tumbuhan dipercayai ketum yang diikat dengan getah.
“Susulan itu, pemandunya, seorang lelaki berusia 36 ditahan bagi membantu siasatan dan ketum dengan nilaian semasa berjumlah RM3,600 tersebut, dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil risikan mendapati bekalan ketum itu diperolehi dari Kedah sebelum melalui jalan darat Grik ke Rantau Panjang dan sedang menuju ke Thailand bertujuan untuk diseludup ke negara jiran terbabit.
“Permintaan dadah jenis ketum di selatan negara jiran amat tinggi menyebabkan berlaku aktiviti penyeludupan keluar dadah berkenaan dari negara ini.
“Di sana, mereka memproses ketum menjadi dadah tiruan yang boleh menghasilkan lebih kesan khayal, selain turut dimakan bersama pil kuda,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebanyak 370 botol ubat batuk jenis kodein bernilai RM3,720 berjaya dirampas di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Sauh Bukit Arang, Sungai Durian, Kuala Krai.
Ubat batuk berjumlah 37.2 liter itu ditemui di lantai rumah dan dipercayai dimakan bersama pil kuda, juga untuk kesan khayal berganda.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor