Ruang belakang premis perniagaan di bangunan Putra Square, di Jalan Putra Sguare dekat sini dipenuhi sampah sarap yang dibimbangi boleh berlaku jenayah dan masalah sosial.
Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 10.30 pagi semalam mendapati ruang tengah bangunan berkenaan agak sunyi dan dipenuhi sampah sarap selain beberapa kotak kayu dan kiosk kecil yang tidak digunakan.
Bungkusan plastik makanan, kertas dan kotak polisterin besar berterabur di atas lantai dan lebih memburukkan keadaan ialah beberapa serpihan kayu turut dibuang di ruang tengah bangunan berkenaan.
Selain itu, puntung rokok berterabur di bahagian tengah beberapa kiost yang didakwa menjadi tempat tidur penagih dadah dan mat gian pada waktu malam.
Pengusaha Restoran Akob Patin House 3, Mohd Eruwan Alias, 34, berkata, keadaan itu sudah berlaku sejak keluarganya memulakan perniagaan di situ kira-kira setahun lalu dan tidak pernah berubah.
Dapur restoran Mohd Eruwan yang hanya kira-kira dua meter dari kotak kayu itu menyebabkannya lebih berhati-hati menyimpan barang dan bahan basah di kedai itu.
Katanya, sebelum ini, sudah dua kali ayam yang dihantar di kedainya dicuri tahun lalu dan sempat dirakam litar kamera tertutup (CCTV).
“Bagi mengelakkan kejadian berulang, saya menghubungi polis untuk membuat rondaan di belakang restoran dan ada ketika pengawal keselamatan berdekatan memantau kawasan ini,” katanya.
Katanya, bagi menjamin kebersihan, beliau meminta pekerjanya membersihkan sampah beberapa meter dari dapur restoran sebagai inisiatif memastikan tiada sampah sarap memenuhi ruang belakang restorannya.
Seorang pekerja di sebuah premis bangunan berkenaan, Mohd Adnan, 40-an mendakwa, sampah berkenaan dibuang kira-kira setahun lalu dan semakin bertambah setiap hari.
Katanya, ruang belakang premis perniagaan itu turut menjadi laluan orang ramai kerana keadaannya yang teduh namun ada yang mengambil kesempatan membuang sampah.
“Bila jadi macam ni, ada yang tidak bertanggungjawab dan mengambil mudah dengan membuang sampah di sini. Lama kelamaan semakin banyak dan berlonggok dibawa angin,” katanya.
Mohd Adnan berkata, dia pernah beberapa kali melihat pengusaha premis di kawasan itu membuang sampah di ruang tengah bangunan itu dan membiarkannya ditiup angin.
“Mereka sepatutnya menyediakan tong sampah bagi menguruskan sampah sarap yang dibuang dan tidak dibiarkan begitu saja terutama ketika angin kencang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor