Pages

Thursday, March 20, 2014

WARGA ASING DITUDUH CABUL



Kuantan - Pengakuan seorang buruh ladang warga Bangladesh bahawa dia ada menggesel dada seorang wanita mencuit hati orang ramai yang berada dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam.

“Saya ada gesel sikit-sikit dia punya dada,” kata tertuduh, Mijanur Rahman, 43, beberapa kali.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada dia mengaku bersalah atau tidak atas tuduhan mencabul, tertuduh hanya mendiamkan diri seolah-olah keliru dengan persoalan yang dikemukakan.

Dalam sebutan kes itu semalam, mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada tertuduh yang bekerja di Ladang LKPT Bukit Kuin, Kilometer 37, Jalan Tun Razak, Gambang dekat sini itu.

Sebaliknya mahkamah menetapkan 17 April depan untuk mendapat khidmat jurubahasa Bangladesh sebelum kes itu disebut semula.

Mahkamah mendapati khidmat jurubahasa itu perlu memandangkan tertuduh tidak dapat memahami pertuduhan yang dibaca dalam Bahasa Melayu atau Inggeris.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba mencabul seorang wanita apabila mengayun tangan hingga hampir terkena bahagian dada mangsa.

Susulan kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di dalam sebuah kedai runcit Ladang Seri Gelam, Kompleks Sri Meranti, Kilometer 37, Jalan Tun Razak, Gambang dekat sini itu, mangsa membuat laporan polis.

Tertuduh yang ditahan pada hari sama dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 354/511 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor