The Main Place Residence yang akhirnya siap setelah 16 tahun pembeli unitnya menunggu.
Subang Jaya - “Rasa macam mimpi rumah dibeli 16 tahun lalu dah siap sepenuhnya,” demikian luah Musri Tukimin @ Musa, 47, pembeli hartanah The Main Place Residence, USJ 21, projek yang terbengkalai sejak tahun 1999.
Musri berkata, kediaman itu adalah yang pertama dibeli ketika berusia 32 tahun.
Penantian selama belasan tahun lalu berakhir apabila projek berkenaan disiapkan pemaju penyelamat, Sumbangan Lagenda Sdn Bhd (SLSB), anak syarikat Bina Puri Holdings Bhd.
Katanya, dia dan isteri yang menetap di Puchong terpaksa memendam perasaan bertahun-tahun lamanya setiap kali melintasi rumah mereka ketika berulang alik ke tempat kerja di Subang Jaya.
“Masa tu sedih tengok rumah yang dibeli pada harga RM140,000 belum siap. Tapi hari ini rasa macam tak percaya dah dapat Sijil Layak Menduduki (CF),” katanya.
Seorang lagi pembeli, Steven Alfonso, 42, turut berkongsi kegembiraan sama apabila mendapat tahu projek pembinaan pusat perniagaan dan pangsapuri perkhidmatan tersebut boleh diduduki bila-bila masa sahaja selepas CF diserahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
“Saya beli sebagai pelaburan, mungkin akan disewakan,” katanya selepas Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid menyerahkan CF kepada Pengarah Urusan SLSB, Ir Jason Yam Huang Meng, semalam.
Abdullah berkata, projek pembangunan 34 tingkat mengandungi 1,211 unit pangsapuri perkhidmatan dan pusat perniagaan berkenaan mendapat kelulusan pada 24 Disember 1999 dan kerja di tapak dimulakan pada 2000.
Kerja pembinaan terhenti pada tahun 2001 hingga tahun 2006 kerana masalah pengurusan kewangan selain kemelesetan ekonomi.
Projek tersebut kemudian diambil alih pemaju lain, namun terbengkalai semula antara tahun 2007 hingga 2011.
Menurut Abdullah, MPSJ seterusnya mengambil inisiatif memanggil pelikuidasi bertanggungjawab terhadap projek dan mencari jalan supaya ia boleh diteruskan semula.
“Tender dibuka pada 2009, setahun kemudian SLSB dilantik menjadi pemaju penyelamat baru. Ia siap sepenuhnya pada 18 Mac dengan 1,096 unit sudah terjual,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bina Puri Holdings Bhd, Tan Sri Ir Wong Foon Meng berkata, bukan mudah meneruskan projek yang pernah dilanda pelbagai masalah serta sering bertukar pemaju.
Pelbagai aspek harus dikaji termasuk keutuhan struktur binaan bagi memastikan keselesaan pembeli.
“Ada beberapa ciri bangunan yang dinaik taraf termasuk sistem lif, kolam renang dan kemasan bagi setiap unit supaya lebih cantik dan menarik.
“Pusat beli-belah di tingkat bawah akan mula beroperasi Selasa ini dan dibuka sepenuhnya Mei nanti,” katanya.
Sumber
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor