Pages

Sunday, March 23, 2014

TANDA TANYA KEHILANGAN TERJAWAB




Kuala Lipis - Tanda tanya kehilangan seorang penoreh getah yang dipercayai terjatuh daripada sampan ketika memukat ikan di Lubuk Law, Sungai Jelai dekat Jeram Bungor di sini sejak dua hari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mayat Mohamad Mahmod, 52, ditemui penduduk kampung dalam keadaan berpakaian lengkap tersangkut pada pokok berhampiran jeti Kuala Kenong kira-kira jam 4 petang.

“Mayat mangsa telah ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat kira-kira 10 kilometer dari kawasan dia mula dilaporkan hilang.

“Hasil maklumat dari keluarga mangsa juga menyatakan Muhamad pernah menjalani pembedahan di bahagian jantung enam tahun lalu dan pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa diserang penyakit berkenaan ketika menjaring ikan,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan 41 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dengan dibantu unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan menggunakan enam buah bot.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan polis juga sudah memaklumkan penemuan mayat mangsa kepada keluarganya untuk sesi pengecaman,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Mat Mahmud, 50-an menyedari kehilangan Mohamad apabila melihat bot mangsa di tengah sungai kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Mat berkata, dia bersama mangsa sering menjaring ikan di kawasan terbabit namun pada hari kejadian dia tiba lewat di sungai berkenaan.

“Ketika saya mudik bot ke hilir saya melihat bot mangsa teroleng-oleng di tengah sungai namun kelibat Muhamad tidak kelihatan.

“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku saya segera bertindak memanggil orang kampung untuk mencari Muhamad serta membuat laporan polis tentang kehilangannya,” katanya di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor