Pages

Saturday, March 29, 2014

GURU SILAT TERKENAL ERA 80-AN TERLANTAR SAKIT

Mohd Sharkar menziarahi Aziz di rumahnya di Kampung Tanjung Kerayong, petang kelmarin


Mentakab - Guru silat terkenal sekitar 80-an yang juga bekas ketua kampung kini terlantar sakit di rumahnya dekat Kampung Tanjung Kerayong, di sini dan dijaga isteri dan anak-anaknya.

Isterinya, Roshana Mohamad 54, berkata, Aziz Maakil, 84, terlantar atas katil sejak dua bulan lalu dan tidak mampu berjalan akibat sakit tua dan Parkinson yang dialami.

Selain itu kata Roshana, suaminya turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

“Suami saya kini hanya bergantung pada susu dan tidak mampu lagi makan seperti biasa.

“Walaupun begitu pendengarannya masih kuat, ingatannya juga masih baik tetapi pertuturannya perlu ambil masa untuk difahami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini kelmarin.

Beliau ditemui pada lawatan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin bersama Biro Tugas-tugas Khas Umno Bahagian Temerloh menziarahi veteran Umno uzur sekitar Mentakab, di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Biro Tugas-tugas Khas, Rosman Sudin.

Mohd Sharkar berkata, Aziz adalah bekas ketua Umno cawangan dan bekas Ketua Kampung Tanjung Kerayong yang pertama sejak kampung itu dibuka.

Menurutnya, Aziz seorang yang cukup dikenali dan dihormati masyarakat sekitar Temerloh dan Mentakab.

Beliau berkata, Umno akan terus menganjurkan program seperti itu dengan mengadakan lawatan mana-mana pemimpin sama ada Melayu, Cina atau India yang uzur.

“Saya juga mahu ketua cawangan hantar laporan kepada saya jika ada penduduk kampung yang uzur memerlukan bantuan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor