Pages

Saturday, March 29, 2014

WARGA EMAS RENTUNG DALAM BILIK

Kebakaran di Kampung Tasek Bakong mengorbankan seorang warga emas yang lumpuh


Rantau Panjang – “Bawalah anak ke klinik, dia demam. Mak dah sihat, sudah boleh tinggalkan mak.”
Itu kata-kata terakhir May Kalsom Daud, 71, kepada anak bongsunya, MohamadAbdul Halim Mat Yaacob, 31, sebelum ditemui rentung dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kebakaran yang melibatkan dua kejadian berasingan itu menyebabkan empat keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian pertama berlaku pada jam 9.15 malam di Kampung Tasek Bakong dan mengorbankan seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) lumpuh.

Selang empat jam kemudian, kebakaran kedua berlaku di Kampung Banggol Kulim melibatkan tiga rumah namun tiada kecederaan jiwa dilaporkan.

Mohamad Abdul Halim ketika menceritakan kejadian memilukan itu berkata, disebabkan nasihat ibunya itu, dia membawa anak tunggalnya, Muhammad Syakir, 6, ke Klinik 1Malaysia yang terletak beberapa kilometer dari rumah bersama isteri.

Lihat api marak di tingkat atas

Kurang 30 minit selepas berada di klinik katanya, dia terima panggilan daripada anak saudaranya meminta mereka pulang dengan segera.

“Hancur hati saya melihat api marak di tingkat atas yang turut menempatkan bilik ibu saya. Saya cuba menyelamatkan ibu tetapi orang ramai menghalang saya kerana keadaan api yang begitu marak," katanya, semalam.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Mohammad Mat Yaacob, 56, yang tinggal bersebelahan tempat kejadian, cuba merempuh masuk menerusi pintu hadapan.

Namun katanya, api mula marak di bahagian tangga menuju tingkat atas dan ruang tamu menyebabkan usaha menyelamatkan ibunya gagal.

Mengikut perancangan katanya, dia sepatutnya membawa ibunya ke bank untuk menunaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Arwah juga pernah beritahu mahu meluangkan masa bersiar-siar bersama anak, cucu dan cicit selepas mendapat wang tersebut.

Sempat penuhi semua permintaan terakhir ibu

“Semua permintaan terakhirnya termasuklah membawanya ke pantai dipenuhi, namun saya tidak sangka itulah kali terakhir kami dapat bersiar bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abd Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 malam dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan tujuh anggota.

“Tiba di lokasi kejadian, kami dapati rumah terbakar hampir 90 peratus terutama di bahagian berkayu di tingkat atas.

“Api berjaya dikawal 20 minit kemudian dan mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan lanjut. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Selang beberapa jam kemudian, kebakaran kedua dilaporkan membabitkan tiga rumah di Kampung Banggol Kulim, jam 1.15 pagi, semalam.

Kejadian itu menyebabkan dua rumah hangus 100 peratus, manakala satu lagi berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Ketukan pintu oleh orang kampung selamatkan nyawa

Mangsa, Mohd Sahabuddin Md Nor, 32, berkata, ketukan pintu yang kuat oleh penduduk kampung berjaya menyelamatkan nyawanya bersama isteri dan empat anak.

Ketika kejadian katanya, mereka tidur di tingkat bawah manakala dua lagi anaknya yang berusia 9 dan 8 tahun tidur di tingkat atas.

“Saya segera menuju ke tingkat atas untuk menyelamatkan mereka sambil menjerit memanggil isteri agar selamatkan dua lagi anak yang lain.

“Namun saya terkejut kerana isteri hanya memangku anak bongsu yang berusia 5 bulan,” katanya.

Mohd Sahabuddin cuba merempuh masuk semula ke dalam rumah, namun dihalang kerana orang ramai sempat menyelamatkan anak ketiganya sebelum api marak di bahagian ruang tamu.

Seorang lagi mangsa, Mohd Zakia Hamat, 31, berkata, mereka baru sahaja masuk tidur namun tersedar kepada bunyi bising dari luar rumah.

“Kami tidak sempat menyelamatkan barang berharga, namun bersyukur ibu bapa dan dua lagi adik saya terselamat.

“Mereka masih lagi dalam keadaan terkejut dan tidak menyangka rumah yang diduduki sejak 1970-an hangus 100 peratus,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.28 pagi.

“Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor dikerah ke tempat kejadian menggunakan empat jentera.

“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati dua rumah terbakar hampir keseluruhan namun api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah ketiga. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.



Tiga sekeluarga, mangsa kebakaran di Banggol Kulim tidak sempat menyelamatkan dokumen penting selepas rumah mereka terbakar.


May Kalsom

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor