Pages

Friday, January 17, 2014

PENUTUPAN GIATMARA STRATEGI HALUS DAP


ENTAH apalah 'dosa' para pelatih GiatMara di Taman Selayang Baru apabila kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengarahkan premis tersebut ditutup hujung tahun ini atas alasan dibina tanpa kebenaran.

Sukar agaknya untuk mereka menerima hakikat tersebut memandangkan pusat latihan kemahiran untuk anak-anak muda bumiputera itu telah wujud di situ sejak lebih 20 tahun lalu.

GiatMara berkenaan merupakan yang kedua ditutup di Selangor selepas cawangan di Merbau Berdarah, Sabak Bernam menerima nasib sama, dua tahun lalu.

Selepas ini, GiatMara di Jalan Rantau Panjang, Kapar, Klang juga dikatakan bakal ditutup atas alasan sama.

Pun begitu, bagi bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman, apa yang berlaku kepada pusat latihan kemahiran yang merupakan platform terbaik untuk membantu pelajar-pelajar Melayu yang tidak berkemampuan itu tidak sama sekali mengejutkan.

Beliau mendakwa, sememangnya ia adalah perancangan pembangkang sekiranya berjaya menguasai Putrajaya.

Mohamed Razali yang pernah terlibat dalam merangka dan melaksanakan misi DAP suatu ketika dahulu memberitahu inilah yang mereka mahu.

Sebelum ini berlaku campur tangan politik yang cukup hebat dalam pentadbiran Universiti Industri Selangor (Unisel) kini Universiti Selangor dan penolakan UiTM di Serendah yang mahu dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Begitu juga di Pulau Pinang, banyak gerai peniaga kecil dan kampung tradisional Melayu dirobohkan satu persatu.

Bukan mahu menghalang tindakan penguatkuasaan tetapi biarlah ada budi bicara dan asasnya kerana apa yang mahu mereka hapuskan termasuk GiatMara sudah wujud begitu lama.

Mereka melenting apabila disentuh isu sekolah vernakular misalnya kerana cuba menidakkan hak mereka untuk mendapat pendidikan tetapi dalam soal hak orang Melayu, kenapa pula mahu diusik?

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan pula menyifatkan, cadangan kerajaan negeri menyerahkan tapak GiatMara di Selayang kepada anak syarikatnya, SSIC Berhad untuk pembinaan pusat membaik pulih pesawat adalah lebih bermotifkan keuntungan perniagaan.

Menurutnya, tindakan itu sekali gus menidakkan usaha Mara untuk melahirkan lebih banyak modal insan dalam kemahiran vokasional.

Berdasarkan pemerhatiannya, cadangan kerajaan negeri itu adalah tidak sesuai berikutan tapak berkenaan berhampiran taman perumahan dan kawasan riadah di sekitarnya juga akan diambil untuk tujuan sama.

"Agenda mereka jelas, iaitu cuba mengaut keuntungan seberapa banyak yang boleh dan pada masa sama menghalang usaha membantu melahirkan lebih ramai bumiputera dalam bidang kemahiran vokasional.

"Dengan cara ini, mereka akan dapat memenangi hati masyarakat bukan bumiputera dan golongan kapitalis walaupun pada masa sama mereka bersorak untuk membela rakyat.

"Ini baru sekelumit tindakan mereka. Kita khuatir selepas ini lebih banyak tempat atau kawasan untuk melahirkan anak bangsa berjaya akan terus diragut serta dirampas demi kepentingan poket dan politik mereka," tegasnya.

Sementara itu, pereka cipta peralatan berteknologi, Zulkifli Haron melahirkan kebimbangan sekiranya pusat latihan seperti GiatMara yang telah melahirkan ramai tenaga mahir dalam bidang ketukangan ditutup kerana negara bakal berdepan dengan pelbagai masalah.

Pemilik syarikat Zull Design Autotronic (ZDA) yang juga lebih dikenali sebagai MacGyver Malaysia itu menjelaskan, kemahiran ketukangan adalah tulang belakang sesebuah negara.

Katanya, dia sendiri merupakan bekas pelatih Institut Kemahiran Mara (IKM) sebelum berjaya ke tahap sekarang dan asas ketukangan yang diperolehinya dahulu adalah sama dengan apa yang dipelajari oleh pelajar GiatMara.

Menurut Zulkifli, jika ditakdirkan orang sepertinya pupus, negara bakal berada di ambang bahaya kerana terpaksa bergantung sepenuhnya kepada peralatan dan mesin dari luar.

Keadaan tersebut sekiranya berlaku, secara tidak langsung bermakna negara sudah dijajah dari sudut ekonomi.

"Kita kena ingat, dalam dunia ini ada dua jenis manusia iaitu yang cerdik buku dan satu lagi, buta buku. Saya tidak pandai akademik tetapi dilahirkan dengan minat bertukang.

"Mereka yang belajar di GiatMara kebanyakannya kurang cemerlang dalam akademik, justeru terpaksa mencari ilmu kemahiran untuk memastikan mendapat pekerjaan yang baik pada masa depan.

"Bayangkan jika pusat kemahiran sebegini ditutup, di mana lagi anak-anak Melayu ini nak dapatkan ilmu kemahiran yang tidak membebankan keluarga mereka dari segi kos?" soalnya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap dan berdoa agar GiatMara tidak ditutup dan diberi pertimbangan supaya terus kekal beroperasi demi generasi akan datang.

4 comments:

  1. selamat kena saman.. :-)

    ReplyDelete
  2. Ada melayu kisah? Melayu sibuk dengan hiburan dan berjoli. Cina yg untung. Melayu dimasa depan jadi hamba cina.

    ReplyDelete
  3. Ada melayu kisah? Melayu sibuk dengan hiburan dan berjoli. Cina yg untung. Melayu dimasa depan jadi hamba cina.

    ReplyDelete
  4. 7 hari lagi peluang nak mintak maaf heh heh heh. 100 juta tu.

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor