Pages

Friday, January 17, 2014

ARWAH ANAK BERI PETUNJUK


ALOR SETAR - "Saya bermimpi arwah (Nor Syafikah Nadia) datang dengan wajahnya berseri-seri dan suruh cari 'budak' ini jika ingin tahu pembunuh mereka".

Demikian pengakuan Rusdi Rani, 39, bapa kepada tiga beradik iaitu Nor Syafikah Nadia, 14; Nur Izzati Husna, 12; dan Puteri Nurul Akma, 3; dari Alor Semela, Jalan Langgar di sini yang dibunuh kejam sekali gus menjadi petunjuk kepada penangkapan dua suspek lelaki dalam kes pembunuhan itu semalam.

Rusdi berkata, pada malam Selasa lalu dia bermimpi arwah anak sulungnya itu datang seolah-olah memberi petunjuk untuk membantu menyelesaikan kes pembunuhan mereka.

"Dalam mimpi saya, Nor Syafikah Nadia datang dalam keadaan yang berseri-seri dan tersenyum kepada saya lalu beritahu kepada saya petunjuk untuk membantu selesaikan kes pembunuhan mereka.

"Arwah kata pada saya dalam mimpi itu, abah kalau nak selesai cepat kes adik, angah, along pergi cari budak ini sambil memberitahu nama lelaki tersebut dan saya terus beritahu polis mengenai hal ini," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Semela di sini hari ini.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan nama lelaki yang disebut arwah anaknya dalam mimpi itu.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga yang lain tidak pernah lupa membaca surah Yasin dan menunaikan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah agar membantu menyelesaikan kes pembunuhan anak mereka.

"Sejak hari kejadian kami tidak putus-putus berdoa agar pembunuh anak saya berjaya ditahan polis dan akhirnya doa kami dimakbulkan.

"Kami berharap pembunuh ini dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang telah dia lakukan terhadap keluarga kami," jelasnya.

Tambah Rusdi, dia dan keluarganya tidak akan memaafkan pembunuh ketiga-tiga anak perempuannya itu kerana perbuatan mereka terlalu kejam.

Ditanya sama ada dia mengenali dua suspek yang ditahan, Rusdi berkata, dia tidak mengenali dua lelaki tersebut.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mazlan Ariffin, 52, pula berkata, dia mengenali dua suspek yang ditahan itu kerana tinggal tidak jauh dari rumahnya.

"Tetapi saya tidak tahu sama ada mereka ini berkawan dengan tiga anak saudara saya," katanya.

1 comment:

  1. sebenarnya Allah yg menghantar ilham tu kerana setiap keburukan xakan dapat disembunyikan...Allah pasti dedahkannya...in sya Allah..

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor