Pages

Tuesday, January 7, 2014

ANWAR IBRAHIM HANYA MENCARI POPULARITI


KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak layak mempersoal pendirian Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu kalimah Allah serta serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Perkara itu disuarakan Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip yang mahu Anwar menyatakan pendiriannya dalam isu berkenaan terlebih dahulu sebelum meminta Perdana Menteri berbuat demikian.

Malah beliau mengingatkan Anwar dengan titah Sultan Selangor yang mahukan rakyat negeri itu akur kepada larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam selain keputusan Mahkamah Rayuan.

''Anwar tiada hak untuk mempersoalkan pendirian Perdana Menteri kerana pendiriannya (Najib) jelas tidak mahu mencampuri urusan JAIS, itu urusan negeri (Selangor).

''Kalau dia nak mempersoalkan pendirian Perdana Menteri, kita juga nak tanya apakah pendiriannya terhadap titah Sultan Selangor dan keputusan Mahkamah Rayuan dalam isu kalimah Allah?'' soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar seperti dipetik dalam portal propembangkang, The Malaysian Insider yang tidak menyokong cara JAIS menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Petaling Jaya, Khamis lalu selain meminta Najib menyatakan pendirian berhubung isu terbabit.

Dalam serbuan itu, JAIS merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah, susulan kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew supaya semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.

Muhammad Zahid berkata, bukan hanya isu berkaitan kalimah Allah dan serbuan JAIS, Anwar juga perlu menjawab pelbagai isu lain khususnya dakwaan warga Bangladesh mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

''Isu itu pun belum dijawab dengan jelas. Jawab isu itu dahulu, baru layak nak cerita hal lain,'' tegasnya.

Mengulas isu sama, bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zamil Ibrahim meminta Anwar tidak mempolitikkan isu agama selain akur dengan titah Sultan Selangor.

''Kita minta Anwar guna akal dan fikiran, jangan isu agama ini dipolitikkan. Selesaikan hal-hal peribadi dan parti terlebih dahulu sebelum mencampuri hal orang lain.

''Saya fikir apa yang disuarakan Anwar tidak lebih sekadar mahu menunjukkan dia masih 'bernyawa' dalam politik sebab namanya sudah mula tenggelam sejak akhir-akhir ini,'' katanya.

Beliau seterusnya mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat laporan beberapa portal propembangkang yang kebelakangan ini banyak memainkan isu sensitiviti agama.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor