Pages

Tuesday, January 7, 2014

PUTRAJAYA GEMPAR HANYA KERANA CAFE


RIUH sekejap di Putrajaya apabila Sabtu lalu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat mengumumkan yang Hard Rock Cafe akan dibuka di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi.

Bagaikan meletusnya gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, pelbagai pihak meluahkan bantahan keras terhadap pengumuman tersebut atas alasan 95 peratus penduduk di Putrajaya beragama Islam dan tidak mahu ‘kesucian’ bandar pintar ini dicemari dengan kehadiran kafe hiburan terkemuka itu.

Menerusi laman sosial Facebook, penulis-penulis blog, orang ramai dan tidak terkecuali kalangan pengamal media sendiri turut menolak pembukaan cawangan Hard Rock Cafe keempat di Malaysia itu. Rata-rata memberikan alasan yang hampir sama iaitu Hard Rock Cafe akan menjejaskan imej Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Dakwa mereka, ini kerana kafe tersebut pastinya menyediakan minuman keras, pengunjungnya akan mabuk dan semua ini bakal menjurus ke arah kemaksiatan kerana pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

Tidak kurang juga ada yang menyokong kehadiran Hard Rock Cafe tersebut, dengan alasan ia mampu menjadi daya tarikan terbaharu di Putrajaya, mampu menjana ekonomi malah pengumpul koleksi produk ini menyambutnya dengan gembira.

Ada juga memberi cadangan bahawa memadai hanya premis Hard Rock yang menjual cenderamata seperti kemeja T, koleksi mug dan rantai kunci dibuka, tanpa perlu membuka kafe.

Terdapat juga cadangan supaya Hard Rock Cafe dibuka di Cyberjaya kerana lokasi itu menempatkan banyak syarikat antarabangsa dan ramai warga asing bekerja, belajar dan tinggal di situ. Justeru kesucian Putrajaya akan terus terpelihara memandangkan dua buah masjid tersohor iaitu Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin terletak di Putrajaya.

Hari ini, Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan pertemuan dengan Aseh selepas menyerahkan memorandum membantah kewujudan Hard Rock Cafe di Menara Ikhlas, Presint 3.

Prihatin dengan bantahan yang disuarakan oleh pelbagai pihak, Aseh hari ini mengumumkan bahawa restoran tersebut tidak akan dibuka dan sekiranya terdapat permohonan daripada pelaburnya, pihak PPj tidak akan mempertimbangkannya.

Keputusan ini mungkin memberi kelegaan kepada sebilangan besar pihak yang membantah, namun bagi para penggemar produk Hard Rock Cafe, keputusan ini dilihat sesuatu yang agak mengecewakan.

Seakan sudah menjadi tradisi apabila ada sahaja rakan yang melancong ke luar negara, perkara pertama yang selalunya diminta selain magnet peti sejuk adalah kemeja T Hard Rock Cafe, tidak kiralah kalau rakan itu melancong ke Beijing, Belgium, Hong Kong, London, Paris, Bangkok, Jakarta dan sebagainya.

Dalam pertemuan ringkas bersama Aseh di Hotel Shangri-La, Putrajaya semalam, beliau melahirkan rasa terkejut apabila isu itu telah dipolitikkan sedangkan belum ada sebarang permohonan diterima oleh pihak PPj daripada pelabur Hard Rock Cafe di Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir.

Belum pun sempat memberikan sebarang penjelasan, Aseh menerima kecaman hebat dan ramai yang mahu beliau menarik balik cadangan untuk membenarkan restoran yang sering menyediakan persembahan life band itu beroperasi.

‘‘Saya tahu ini kota pentadbiran dan tidak semudah itu untuk kita hendak benarkan mereka jual minuman keras, tetapi saya telah putuskan supaya tidak menimbangkan sebarang permohonan mengenainya.

‘‘Sebagai pihak berkuasa tempatan yang meluluskan lesen premis, sudah tentunya syarat-syarat ditetapkan oleh kita mesti dipatuhi seperti waktu operasinya setakat pukul 12 malam. Tetapi nampaknya restoran sederhana mewah ini tidak dapat dibuka di Putrajaya kerana banyak tentangan," katanya.

Menurutnya, ramai yang melihat pembukaan Hard Rock Cafe di Putrajaya dari sudut negatif semata-mata walaupun dari sudut positifnya tetap ada dan pihak PPj boleh mengenakan syarat tertentu kepada pemiliknya.

Segelintir penjawat awam menyifatkan kewujudan Hard Rock Cafe mampu menjana ekonomi dengan kehadiran ramai pengunjung namun mahu pihak PPj mengenakan syarat ketat seperti tidak membenarkan lesen penjualan arak di premis itu.

Tidak kurang juga yang menyatakan mustahil untuk warga asing melepak pada waktu malam dengan sekadar menikmati segelas air sirap dan sepinggan spagetti bersama rakan-rakan di Hard Rock Cafe.

Keputusan telah pun dibuat dan tiada sebarang isu berbangkit yang boleh dibahaskan lagi berhubung perkara ini. Hasrat warga Putrajaya yang mahu mengekalkan identiti Islam berdasarkan reka bentuk bangunan di sini juga telah dipertahankan.

Justeru jika terdapat sebarang cadangan untuk membuka cawangan kafe antarabangsa selepas ini, kajian mendalam perlu dibuat tanpa mencetuskan kontroversi atau menggugat sensitiviti agama terutamanya di Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor