Pages

Tuesday, January 7, 2014

HENTI CABAR ISLAM

SHAH ALAM - Semua pihak dinasihatkan berhenti membuat kenyataan secara terbuka berhubung cadangan meminda Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 bagi mengelak suasana tegang berlaku dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, tindakan sedemikian jika diteruskan boleh diibaratkan seperti mencurah minyak ke dalam api kerana ia membabitkan sensitiviti umat Islam.

"Saya minta semua pihak agar tidak memperbesar-besarkan isu ini. Sebarang pandangan yang mempertikaikan larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, termasuk cadangan meminda enakmen terbabit hanya akan menambahkan keadaan yang tidak harmoni di antara masyarakat.

"Tuanku (Sultan Selangor) sebelum ini pun telah menitahkan supaya larangan pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam harus dihormati oleh semua pihak.

"Justeru, saya harap jangan lagi ada pihak yang bercakap mengenai isu ini, apatah lagi membuat sebarang komen-komen yang bersifat mencurah minyak dalam api yang akhirnya boleh merugikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat pelbagai agama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan tiga wakil rakyat dari DAP supaya Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda bagi memastikan hak orang bukan Islam dibela.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin; ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Cadangan tersebut dibuat susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Tamyes memberitahu, pindaan enakmen tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sama ada mahu menerima atau menolak cadangan tersebut.

Selain itu jelasnya, sebarang pandangan mengenai cadangan pindaan enakmen tersebut juga harus dirujuk kepada Penasihat Undang- Undang Negeri terlebih dahulu.

"Penasihat Undang-Undang Negeri ada bidang kuasa dalam hal ini maka sebarang cadangan membabitkan pindaan perundangan di Selangor perlu dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor