Pages

Friday, November 1, 2013

LIPUTAN INTERNET LEBIH LUAS - SHAHANIZA SAMSUDDIN


BERA - Penduduk luar bandar bakal menerima liputan jalur lebar lebih meluas apabila 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahaniza Samsuddin berkata, dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini, sebanyak RM1.5 bilion akan diperuntukkan bagi meningkatkan liputan internet dan talian telefon terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 10 menara pemancar dapat dibina di setiap daerah di negeri ini.

“Saya harap, setiap daerah di negeri ini akan menerima 10 menara memandangkan beberapa kawasan di negeri ini masih tidak dapat menerima liputan yang baik.

“Menara pemancar sedia ada tidak dapat menampung keperluan pengguna, dan jika menara pemancar baru dalam Bajet 2014 dapat dibina di negeri ini, saya percaya masalah tersebut dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Hari Bersama Pusat Internet 1Malaysia (PI1M), dekat Kemayan.

Hadir sama, Adun Kemayan, Mohd Fadil Osman; Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Timur, Shahrizal Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tan Sri Hamzah, Mahasan Ali.

Pada program itu, Shahaniza turut merasmikan pembukaan PI1M  Kemayan yang merupakan pusat internet keempat di daerah ini.

Sebanyak 58 buah PI1M sudah dibina di negeri ini termasuk tiga lagi di Felda Mayam, Felda Bukit Puchong dan Durian Tawar.

Shahaniza berkata, kerajaan dalam usaha untuk menambah PI1M di beberapa lokasi yang dikenal pasti dengan kepadatan penduduk dalam satu-satu kawasan.

“PI1M diwujudkan untuk membantu mengurangkan jurang digital di kalangan masyarakat luar bandar, sekali gus mempertingkatkan kemahiran digital di kalangan mereka terutamanya para pelajar.

“Saya harap, penduduk dapat menggunakan prasarana ini sebaik mungkin tetapi dalam pada masa yang sama, mereka perlu pantau penggunaan internet di kalangan anak-anak yang mudah terpengaruh untuk melayari laman sesawang yang mungkin akan merosakkan minda dan kelakuan mereka,” kata beliau.

PI1M Kemayan mempunyai 20 buah komputer dengan 10 unit daripadanya ditempatkan khas untuk proses pembelajaran dan latihan kursus.

1 comment:

  1. Pak Cik tu ada potensi jadi blogger sehebat Semut Hitam.... tak pun macam Yb Raz....

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor