Pages

Friday, November 1, 2013

PEMBANGKANG TIDAK SEPAKAT


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan pembangkang tidak sepakat apabila menggunakan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai modal awal mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Beliau berkata, perkara berkenaan dapat dilihat apabila wujud percanggahan pendapat sesama mereka dalam isu berkenaan sehingga mengelirukan pengundi.

"Di Sungai Limau, mereka (pembangkang) hanya mendengar cakap-cakap orang sahaja yang mengatakan GST tidak bagus tanpa mengkaji faktanya secara terperinci.

"Hari ini, rakan mereka dalam pakatan pembangkang pula mengakui GST yang mahu dilaksanakan kerajaan lebih telus. Jadi, saya rasa pembangkang perlu kaji secara mendalam terlebih dahulu dan jangan tolak mentah-mentah," katanya.

Jamil Khir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali di Dewan Rakyat semalam yang mengakui GST merupakan sistem percukaian telus, efisien serta mampu memberi kebaikan jangka panjang kepada ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, kerajaan tidak akan sesekali melaksanakan sesuatu perkara jika ia membebankan rakyat.

"Langkah melaksanakan GST sudah lama difikirkan dan hanya akan dilaksanakan pada April 2015.Ia juga sudah ditegaskan bahawa barangan keperluan asas seperti makanan tidak terlibat.

''Jika tidak memberi faedah, sudah pasti negara-negara lain tidak akan laksanakannya dan kembali kepada sistem cukai lama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor