Pages

Tuesday, October 29, 2013

PERPECAHAN UMAT ISLAM DAN HELAH COMANGO


PERPECAHAN dalam kalangan umat Islam hatta kepada perkara asas seperti aqidah (kalimah Allah), Islam dan hak asasi (tuntutan Comango) dibaca oleh kelompok anti Islam sebagai kesempatan yang baik untuk dikemukakan ke peringkat yang lebih jauh iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) ke Geneva, Switzerland, Azril Mohd. Amin menyifatkan helah Comango mengemukakan tuntutan yang menyentuh sensitiviti umat Islam itu dipercayai ada kaitan dengan sokongan pembangkang.

Meskipun Dewan Pemuda Pas Pusat mendesak Comango menggugurkan segala tuntutan kepada PBB yang menyentuh sensitiviti umat Islam adalah baik tetapi ia tidak menggambarkan pendirian Pas secara keseluruhan.

Apa yang berlaku kepada isu Comango sama seperti yang berlaku kepada kalimah Allah. Dewan Ulama Pas menentang sedangkan Abdul Hadi Awang mengambil pendirian sebaliknya. Ia adalah isyarat salah kepada Pas kerana isu pokok seperti kalimah Allah tidak wujud kesepakatan dalam Pas yang menyebabkan khalayak jadi keliru.

Anwar Ibrahim sehingga kini tidak akan membuat apa-apa kenyataan kerana dalam Comango terdapat Suaram, Majlis Peguam Malaysia, Ambiga dan banyak lagi yang ada kaitan dengan perjuangan pembangkang. DAP seperti biasa akan terus membisu kerana isu-isu yang dibawa oleh Comango sebahagiannya adalah isu-isu DAP juga.

Isu peruntukan Islam dalam perlembagaan, isu hak asasi yang tidak ikut syariat, isu murtad dan isu amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang diperjuangkan oleh Comango adalah berkait langsung dengan kedudukan Islam.

Hairannya kepada Pas mengapa parti yang mendakwa memperjuangkan Islam ini tidak sungguh-sungguh mempertahankan wibawa Islam. Kalau Anwar mengambil sikap membisu, khalayak boleh memahaminya kerana dia memperjuangkan pluralisme agama dan anaknya menyalahtafsirkan maksud " tiada paksaan dalam agama".

Tuntutan yang dibawa oleh Comango di mata dunia adalah isu besar. Ia menyentuh peruntukan perlembagaan mengenai Islam, bidang kuasa Majlis Raja-Raja, mencabar peruntukan hak istimewa orang Melayu dan isu LGBT.

Sekiranya semakan di Geneva itu diperkenankan ia amat bercanggah dengan kepentingan Malaysia mempertahankan keutuhan agama Islam dan usaha kerajaan meningkatkan prestasi orang-orang Melayu seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Dalam bahasa mudah perjuangan Comango ini bercanggah dengan Perlembagaan dan menentang Perlembagaan. Mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka?

Comango dengan 54 organisasi bersamanya menjadi keterlaluan kerana Pakatan Pembangkang dikaitkan dengan perjuangan ini. Kalau DAP dan PKR turut serta boleh difahami dengan mudah. Tetapi kalau Pas turut bersama ia adalah suatu perkara yang pelik kerana Pas mendakwa memperjuangkan Islam.

Tidakkah isu peruntukan 3(1) dalam Perlembagaan berkait dengan Islam? Tidakkah usaha memperkasa umat Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan berkait dengan isu Islam? Tidakkah memperjuangkan hak asasi yang bercanggah dengan syariat juga isu Islam. Tidakkah memberi ruang kepada LGBT bercanggah dengan Islam?

Kalau isu-isu pokok ini Pas dan Anwar tidak mempunyai sikap dan pendirian yang jelas bayangkan isu-isu besar lain yang bakal datang. Khalayak akan terus bertanya ke manakah perginya semangat Pas memperjuangkan negara Islam dan hudud dan kemana hilangnya slogan ABIM semasa Anwar menjadi Presidennya " Memperjuangkan kebenaran dan keadilan".

Pada hemat penulis Pas sedang terjebak dengan perangkap Tahalluf Siasi. Dewan Ulama Pas dan Dewan Pemudanya dalam beberapa hal berbeza dengan Dewan Harian yang dipimpin oleh Abdul Hadi. Mengapa ini berlaku sedangkan pendekatan jamaah dan harakah siasah tidak membenarkan ini berlaku.

Pendirian Anwar mudah difahami. Ia masih bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu restu DAP amat diperlukan dan dukungan Pas sesuatu yang wajib.

Disinilah munculnya perjuangan Comango kerana mereka menyedari Pas berpecah dua dalam membuat pendirian dan Anwar tidak akan menghalang usaha merosakkan imej Malaysia di mata dunia.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor