Pages

Wednesday, July 10, 2013

PENGALAMAN MESIR WAJAR DIPELAJARI


REVOLUSI di Mesir dengan kebangkitan di Dataran Tahrir dan merupakan salah satu legenda Arab Spring menarik perhatian beberapa tokoh politik di Malaysia untuk berkuasa. Proses demokrasi yang berjalan dianggap palsu dan penuh dengan penipuan.

Antara tokoh ini sangat rapat hubungannya dengan Turki. Apabila demonstrasi jalanan berlaku di Turki, tidak pula tokoh ini mengecam cara kerajaan Turki mengendalikan demonstran hingga ramai yang cedera.

Muhammad Morsi menang dengan proses demokrasi. Penentang jalanan dikatakan tidak menghormati proses demokrasi. Apa bezanya dengan Malaysia, ada pihak yang menang tetapi tidak diiktiraf dan usahakan menumbangkan kerajaan secara demonstrasi jalanan.

Proses demokrasi telah menentukan menang-kalah pihak yang bertanding. Tapi yang kalah mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya menipu. Asas tuduhan terhadap penipuan tidak dikemukakan secara sah. Blackout 505 menjadi rangsangan demonstrasi jalanan pimpinan tokoh ini.

Mujur di Malaysia polis dan tentera mengambil langkah sabar dan bijaksana. Provokasi demonstrasi jalanan tidak didekati oleh polis dan tentera secara kasar. Manakala demonstrasi penangkapan Morsi didepani oleh pihak tentera dan menyebabkan ramai yang terbunuh.

Bayangkan kalau pihak keselamatan Malaysia bersikap gopoh dan tidak bijaksana, apa yang berlaku di Turki dan Mesir boleh berlaku di Malaysia. Sayangnya tokoh-tokoh yang mengangkat sumpah di Malaysia sebagai wakil rakyat dan sebahagian pendukung yang berbaring di pintu masuk Parlimen menyatakan bantahan, terlihat semacam suatu episod yang penuh kelakar antara prinsip dan juga realiti.

Secara prinsip anak muda yang berbaring diajar bahawa angkat sumpah di Parlimen tidak sah kerana pilihan raya yang berlangsung dituduh sebagai tipu. Malangnya tokoh-tokoh yang mengatakan pilihan raya tidak sah tanpa rasa bersalah terhadap pengikutnya mengangkat sumpah.

Niat kumpulan ini ingin mengambil semangat Dataran Tahrir dan Arab Spring. Sayangnya semangat Dataran Tahrir dan Arab Spring memakan diri Morsi. Dan ada kemungkinan penyokong Morsi akan bangkit semula untuk mengembalikan Morsi di Dataran Tahrir dan di tempat-tempat lain di Mesir. Kalau ini terjadi sehingga bila ia akan selesai. Mesir sebenarnya dalam krisis besar. Mesir dalam rusuhan dan keadaan tidak stabil.

Kalau ini terjadi di Malaysia, negara akan menjadi huru-hara lebih-lebih lagi Malaysia masyarakatnya majmuk. Isu perkauman mudah bangkit. Keadaan negara akan menjadi lebih buruk lagi.

Seperti yang terjadi di Mesir, kita tidak mahu ia berlaku di Malaysia. Rekod pembangunan yang meraikan semua kaum menyebabkan Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang stabil. Umumnya gambaran perpaduan dalam kalangan masyarakat dari sudut interaksi sosial, suasana perniagaan adalah baik.

Bila ada pihak ingin menjadi juara kepada sesuatu kaum menyebabkan kocakan terjadi. Memang ada suara-suara ekstrem tetapi ia masih dalam pembendungan orang yang waras akal fikirnya. Membangkitkan konflik perkauman mungkin mudah tetapi membendung perasaan ini tidak mudah. Warga Malaysia harus insaf bahawa harga perpaduan adalah terlalu mahal untuk dimiliki dan dipertahankan.

Sebagai sebuah masyarakat majmuk menjadi amanah untuk dijaga perpaduan ini dan jangan terjebak dengan permainan tokoh politik yang berkepentingan untuk merosakkan suasana ini.

Kalau ada pun tokoh ini ingin menjadi Perdana Menteri -- ‘Lain kalilah’. Pilihan Raya Umum Ke-14 masih ada. Kalau Pas merasakan DAP masih relevan dengan cita-cita Negara Islamnya tunggulah lima tahun lagi. Kalau DAP ingin meluaskan lagi dominasinya ke Sabah dan Sarawak tunggulah bila sampai masanya.

Demokrasi di Malaysia harus dihormati. Bila MCA dan Gerakan tidak lagi disokong oleh masyarakat Cina, MCA mengambil sikap tidak menyertai kerajaan. Bila Pas dan PKR mendapat banyak kerusi atas bantuan DAP juga ia harus dilihat sebagai suatu percaturan kerusi. Dukungan timbal balik Pas-DAP-PKR tidak membayangkan fahaman dan ideologi perjuangan yang sama untuk dijadikan dasar negara apalagi berdepan dengan musuh bersama BN-UMNO dan lain-lain.

Ternyata secara demokratik, UMNO memenangi banyak kerusi di samping dukungan Sabah dan Sarawak. Kalaulah takdirnya dalam tempoh lima tahun ini Pas ingin bekerjasama dengan UMNO atas kepentingan umat Melayu, kedudukan politik akan lebih stabil dan kuat.

Kalau tidak, apa maksud politik untuk Pas bersama dengan DAP secara jangka panjang. UMNO dengan iklim politik yang ada akan menang lagi menjelang PRU-14.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor