Pages

Thursday, July 11, 2013

JARI AKAN DICELUP DAKWAT KEKAL


Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut perlu mencelup jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal yang disediakan pada hari mengundi dan tidak lagi sekadar dicalit oleh pegawai bertugas seperti yang dilakukan pada pilihan raya umum lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd, Yusof dalam satu kenyataan mengulangi bahawa penggunaan dakwat kekal merupakan prosedur tambahan pengundian bagi mengelak sebarang percubaan mengundi dua kali oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kali ini dakwat kekal akan digunakan pada hari pengundian awal 20 Julai dan pengundian biasa PRK Kuala Besut pada 24 Julai.

Jumaat ialah hari penamaan calon bagi PRK Kuala Besut yang diadakan berikutan kematian anggota DUN, Dr. A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) kerana kanser paru-paru pada 26 Jun.

Selain itu, Abdul Aziz turut menasihati pengundi supaya menyemak senarai pengundi dan memastikan saluran serta tempat mengundi yang betul kerana jika nama pengundi tidak terdapat dalam senarai pengundi di tempat dan saluran yang ditetapkan, mereka tidak akan dibenarkan mengundi.

Abdul Aziz berkata, SPR menetapkan Kompleks Rakan Muda Kg. Raja Besut, Kuala Besut sebagai tempat penamaan calon dan proses penamaan calon bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada 12 Julai.

BN mengumumkan anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera awam dari Jabatan Pengairan dan Saliran sebagai calon, manakala PAS menamakan Endot@Azlan Yusof, 48, seorang kontraktor sebagai calonnya.

Beliau menasihatkan para penyokong parti supaya tidak melakukan perkara yang tidak diingini dan melanggar undang-undang untuk memastikan proses penamaan berjalan lancar.

Abdul Aziz turut mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang tidak membenarkan para penyokong atau sesiapa yang mengiringi calon membawa alat-alat muzik, pembesar suara dan membuat ceramah politik pada hari berkenaan.

Ketika proses penamaan calon itu juga hanya calon, pencadang dan penyokong yang dibenarkan masuk ke dalam dewan, katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen hanya bermula selepas pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa ada pertandingan yang akan dijalankan dan kempen akan berakhir pada tengah malam 23 Julai.

Sebuah pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, Dr. Rahman memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,434 undi mengalahkan Napisah Ismail dari PAS.

Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor