Pages
▼
Thursday, May 9, 2013
Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia
KUALA LIPIS - Kerajaan negeri berada di landasan yang betul dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar menerusi sektor perumahan dan pertumbuhan kawasan.
Usaha berkenaan sejajar dengan acuan transformasi pembangunan modal insan dan sosial berasaskan keperluan tempat tinggal dan pendidikan penduduk negeri ini, sekali gus merealisasikan manifestasi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membela kebajikan rakyat.
Komitmen kerajaan negeri menerusi kepemimpinan Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Menteri Besar pada penggal lalu terus memperkukuhkan kebajikan dan ekonomi rakyat menerusi peluang dan bantuan yang disajikan oleh pelbagai agensi sepanjang masa, sekali gus menzahirkan kejayaan sesebuah projek setempat.
Hal ini cukup signifikan dengan konsep 'Janji Ditepati' dan gagasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana kerajaan bersikap realistik dan lebih adil melaksanakan pendapatan ekonomi negara.
Sehingga ini, fokus kerajaan negeri, iaitu projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) antara mekanisme untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapat kemudahan kediaman tetap dan menjana peluang dalam sektor ekonomi.
Bertolak hakikat ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM23 juta untuk Projek Rimbunan Kasih (PRK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Tanjong Besar, Benta di sini tidak lama dahulu.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, projek berkenaan dibangunkan di tapak seluas 20 hektar di kawasan tersebut.
Beliau berkata, kos projek yang dibiayai oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu merupakan sebahagian program transformasi kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan rakyat daerah ini.
"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan projek ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta antara rahmat untuk golongan miskin di sini.
"Projek ini menggunakan konsep perumahan selesa dan berasaskan bidang ekonomi yang diselenggarakan oleh syarikat dilantik, Iris Corporation Bhd. (Iris) dengan menyediakan tanah kepada peserta melaksanakan kegiatan pertanian komersial," katanya.
Menurut beliau, agensi yang terbabit untuk menyelenggarakan logistik dan khidmat bimbingan iaitu ICU Jabatan Perdana Menteri, jabatan-jabatan teknikal peringkat negeri, Syarikat LKPP Properties Sdn. Bhd. dan Iris.
Menurut beliau, setiap kediaman itu dibina atas tapak seluas 1,060 kaki persegi dengan kos binaan sebanyak RM60,000 dan menempatkan 100 unit rumah.
Sehubungan itu, katanya, penduduk yang dipilih daripada senarai e-Kasih perlu mengikat kontrak dan bersedia dipantau serta dilatih oleh Iris agar mereka menjadi usahawan tani moden menerusi sektor ternakan dan tanaman.
Tambahnya, melalui kedua sektor berkenaan, setiap penghuni di PRK akan memperoleh pendapatan minimum RM1,000 sebulan dan kadar itu akan meningkat pada tahun berikutnya.
Beliau menjelaskan, projek berasaskan pertanian akan diperluaskan ke seluruh daerah bagi membolehkan lebih ramai golongan miskin menyertainya.
"Projek itu menyasarkan peserta menanam sayur-sayuran di persekitaran kediaman yang berpotensi dipasarkan di kawasan masing-masing.
"Setakat ini, projek pertama yang dilaksanakan di Pulau Manis, Pekan dilihat begitu berjaya dan kita akan mengembangkan ke daerah lain. Dengan adanya projek seumpama itu, ini mampu meningkatkan sektor pertanian negeri, sekali gus memberikan pendapatan lumayan kepada mereka yang terlibat," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor