Anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau Clement Chin menuntut pengerusi NGO alam sekitar itu, Wong Tack meletak jawatan berkenaan susulan pengumuman aktivis tersebut untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
“Saya ingin mencadangkan bahawa, dari segi prinsip, Wong Tack harus meletak jawatannya sebagai pengerusi Himpunan Hijau demi mengejar karier politiknya.
“Jawatankuasa pemandu sedia ada perlu melantik seorang pengerusi baru untuk menguruskan Himpunan Hijau sebagai golongan yang kuat dan bukannya NGO yang berteraskan politik,” katanya dalam satu tulisan di Facebook.
Kenyataan itu timbul di saat Wong menerima banyak kritikan, antaranya yang mempersoalkan pendirian aktivis berkenaan yang sering berubah-ubah berhubung loji Lynas.
Wong dalam kenyataannya selepas disahkan menjadi calon DAP semalam berkata, beliau tiada masalah dengan loji berkenaan sekiranya Lynas melalui saluran yang betul untuk membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa loji penapisan nadir bumi adalah selamat.
Sedangkan, beliau sebelum ini pernah mengancam untuk membakarloji nadir bumi di Gebeng itu, sekiranya kilang tersebut masih tidak ditutup dalam tempoh 30 hari selepas pilihan raya umum.
Beliau meminta maaf beberapa hari selepas membuat kenyataan tersebut dan mengakui membuat kesilapan apabila mengeluarkan ancaman tersebut.
Mengulas lanjut, Chin berkata beliau bimbang Himpunan Hijau akan kehilangan sokongan dari golongan yang tawar hati apabila NGO diheret ke arena politik.
"Isu alam sekitar akhirnya akan dipolitikkan dan bercelaru sehingga hilang intipati dan kebenarannya dengan segala skandal yang dilemparkan.
"(Himpunan Hijau) paling efektif apabila ia menggamit hati warga yang cakna sebagai sebuah NGO dan tidak tunduk kepada mana-mana agenda parti politikm," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor