KUALA LUMPUR 13 Mac – Memiliki sebuah kerajaan yang kuat dan kukuh adalah antara faktor utama dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan bagi memastikan sebuah negara itu menuju ke satu tahap yang lebih tinggi serta memantapkan pembangunan untuk rakyat.
Penganalisa dan Pensyarah Politik, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi
Mamat berkata, politik memainkan peranan penting dalam kemajuan sesebuah
negara, kerana tiada kemajuan atau pembangunan yang dapat dilaksanakan
jika suasana negara itu berada dalam keadaan huru hara berikutan
ketidakstabilan politik yang disebabkan kepimpinan negara itu tidak
dapat membentuk satu kerajaan yang kuat.
“Kuasa politik amat penting dalam menentukan kemajuan sesebuah
negara, bagaimana kita hendak membangunkan negara jika kita sentiasa
berbalah, kerajaan terpaksa memberikan tumpuan lebih kepada keselamatan
untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
“Jika negara huru-hara macam mana nak laksanakan pembangunan untuk
rakyat, pelabur juga tidak berani datang bukan sahaja khuatir mengenai
masalah keselamatan, mereka juga takut pelaburan yang dibuat menyebabkan
kerugian, tidak ada orang yang berniaga untuk rugi.
“Cuba kita lihat apa yang berlaku di negara- negara yang mengalami
konflik politik sehingga menyebabkan berlakunya huru-hara, pergaduhan
dan demontrasi yang boleh dikatakan berlaku setiap hari, malah negara
yang dianggap maju sebelum ini musnah disebabkan perbalahan sesama
sendiri, ini semua berpunca apabila kerajaan yang dipilih tidak
mempunyai kekuatan dan kestabilan,” katanya kepada UMNO-online.
Menurutnya, untuk membina sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat, rakyat
perlu memberi sokongan dan mandat yang besar kepada kerajaan terbabit
kerana tanpa mandat yang kuat menyukarkan kepada kerajaan terbabit untuk
melaksanakan perancangan untuk rakyatnya.
“Tanpa sebuah kerajaan yang kukuh, sukar sesebuah negara itu untuk
melaksanakan perancangannya seperti yang berlaku di beberapa buah negara
apabila apa sahaja yang ingin dibuat sering diputar belitkan oleh
pembangkang sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.
“Untuk itu, untuk memastikan negara ini terus berada di tahap yang
baik dan memastikan pembangunan berterusan, rakyat perlu memberi mandat
yang kuat kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan kesinambungan
pembangunan dan akhirnya rakyat menerima rahmatnya,” katanya.
Beliau berkata, dalam suasana pilihan raya, semua pihak akan cuba
memberi yang terbaik termasuk membuat pelbagai janji untuk mendapatkan
sokongan dan rakyatlah yang menjadi penentu untuk membentuk sebuah
kerajaan mentadbir negara.
“Untuk itu, rakyat perlu bijak untuk menentukan siapakah yang ingin
mereka pilih, rekod pentadbiran dan kemampuan parti yang menawarkan diri
perlu dinilai sebaik-baiknya, kesilapan dalam memilih kerajaan boleh
membawa kerugian kepada rakyat sendiri,” katanya.-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor