Pages

Thursday, March 14, 2013

PENGHARGAAN DR. YUSOF A-QARADAWI MENYAKITKAN HATI PAS




Knyataan Pengerusi Majlis Pemegang Amanah Institut Antarabangsa Al-Quds, Dr. Yusof Al-Qaradawi bahawa lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza Januari lalu menyuburkan harapan jutaan rakyat Palestin yang sekian lama mengimpikan kemerdekaan di bumi sendiri.

Ini bukanlah kenyataan pertama yang dibuat oleh Dr. Yusof. Kali pertama pada tahun lalu iaitu penghargaan kepada Perdana Menteri kerana membenarkan penubuhan Yayasan Al-Quds Malaysia yang dipengerusikan oleh Nasharuddin Mat Isa, Ahli Parlimen Bachok dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah Dr. Yusof, Malaysia dianggap sebagai negara Islam utama yang sentiasa memberi perhatian berat terutama dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin. Oleh itu, lawatan khas Najib memperlihatkan penegasan sokongan tersebut.

Surat penghargaan Dr. Yusof itu amat menarik untuk dianalisis. Umum mengetahui bahawa hubungan Dr. Yusof dengan Anwar Ibrahim dikatakan rapat. Sikap sinis Anwar terhadap lawatan Perdana Menteri itu diketahui umum.

Tetapi surat penghargaan terhadap keberanian Najib itu menampakkan jiwa besar seorang ulama terhadap usaha bermakna tokoh negara Islam yang banyak memberi perhatian dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Inilah sikap unggul seorang ulama yang berani menyatakan yang baik itu baik tidak seperti Anwar dan ulama Pas lain, selalu enggan menyatakan yang baik itu baik sebaliknya mencari dalih meremehkan usaha baik orang lain.

Akhir suratnya Dr. Yusof mendoakan semoga Malaysia sentiasa makmur dan maju. Semoga negara ini sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan Allah. Dan semoga Malaysia sentiasa menjadi tempat yang terbaik untuk orang Islam dan ketamadunan.

Doa Dr. Yusof ini amat baik untuk diteliti dan diinsafi. Ulama yang tulen tidak akan menafikan kerja-kerja Islam yang dibuat oleh kerajaan Malaysia dan kerja-kerja Islam untuk membantu perjuangan umat Palestin.

Hairannya Anwar dan Pas tidak sedemikian. Apa saja usaha yang dibuat oleh kerajaan untuk maksud memperkasa umat Islam tidak dianggap sebagai relevan. Pas umpamanya terang-terangan mengatakan kerajaan tolak Islam.

Dr. Yusof tentu tahu Malaysia agak terkehadapan dalam melaksanakan sistem kewangan patuh syariah. Wujudnya rangkaian perbankan patuh-syariah, taqakul patuh syariah, sukuk patuh syariah, waqaf patuh-syariah, industri halal patuh syariah adalah testimoni kesungguhan kerajaan melaksanakan agenda Islam.

Dr. Yusof juga tentu tahu, institusi pendidikan Islam sedang berkembang baik dan memerlukan pengukuhan untuk menghasilkan asas-asas ketamadunan.

Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan yang terbaharu Kolej Universiti al-Quran Malaysia adalah testimoni kerajaan untuk menghasilkan jenis sumber daya atau modal insan yang tidak saja memiliki asas diniah (agama) yang baik tetapi mengkhusus dalam pelbagai bidang kepakaran dan keahlian untuk membangun negara.

Dr. Yusof juga tahu bahawa pendekatan pembangunan masyarakat di Malaysia banyak mengambil pendekatan Islam. Pembangunan infrastruktur yang baik, membantu golongan miskin dan terpinggir adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Islam tidak harus dilihat hanya dalam batasan ritual dan diniah semata-mata.

Asas ritual dan diniah harus mampu dilonjakkan kepada amal soleh yang luas maksudnya. Jangan jadikan Islam sebagai agama retorik dengan syarah yang berapi-api dan sifatnya mengapi-apikan. Pejuang Islam harus mampu duduk memikirkan agenda konkrit dan berkesan supaya hala tuju perjuangan Islam terarah bukannya tidak tentu arah.

Langkah awal hasil kunjungan Najib ke Gaza itu ialah suatu Persidangan Evolusi Untuk Palestin dianjurkan pada 2 Mac lalu di Kuala Lumpur dilakukan sekumpulan kepimpinan muda dari Gaza bersama dengan kumpulan muda profesional dari Malaysia dan pelajar Palestin yang sedang belajar di Malaysia bertemu membincangkan strategi membangun kekuatan pendidikan, pembangunan sosial dan ekonomi Palestin.

Usaha baik ini bertujuan mendedahkan kepada generasi muda Palestin tentang agenda dan strategi konkrit memperkasa umat Palestin secara jangka pendek dan jangka panjang.

Seperti diunjurkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam majlis itu supaya pejuang- pejuang Palestin mengkaji strategi terbaik bagaimana perjuangan rakyat Palestin dilihat sebagai maju ke hadapan bukannya mundur ke belakang.

1 comment:

  1. Alhamdulillah...........semoga Allah mengrahmati bumi Malaysia n memberikan kemenangan kpd pejuang2 agamaNya

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor