Gambar hiasan
Berbagai cara dan tindakkan jahat dari pihak yang tidak bertanggungjawab dilakukan dewasa ini. Pihak polis telah mengesan dan memberi amaran bahawa ada berlaku panggilan palsu yang kononnya dibuat dari Bukit Aman yang menawarkan diskaun kepada bayaran saman.
Justeru berita ini haruslah diberikan perhatian dan disebarkan kepada seluruh masyarakat agar tidak ada yang akan tertipu dengan taktik kotor dari pihak yang tidak bertanggung-jawab itu.
Waspada dengan panggilan daripada Bukit Aman
03/01/2012 5:56pm
KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan daripada individu menggunakan nombor telefon Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang mahu membantu mengurangkan kadar saman trafik.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kebelakangan ini, polis menerima tidak kurang 50 aduan setiap hari berhubung penggunaan nombor 03-22662222/03-22663444 dan beberapa sambungan lain di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Kebanyakan pemanggil akan memperdaya penerima bahawa mereka boleh mengurangkan kadar saman trafik dengan syarat pembayaran mesti dilakukan dengan memasukkan duit ke akaun bank pemanggil, katanya.
Untuk itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar mendapatkan butiran pemanggil seperti meminta pemanggil memberikan nama, pangkat dan jawatan serta memberitahu akan memanggil semula si pemanggil menggunakan nombor yang tertera di skrin.
"Proses verifikasi seperti ini boleh mencegah kejadian penipuan kononnya daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,” katanya.
Ramli berkata, polis telah menerima beberapa laporan mengenai penipuan menggunakan nombor talian ini daripada orang ramai dan pihaknya akan menyiasat dengan segera.
Beliau juga berkata, semakan panggilan melalui sistemnya dan Telekom Malaysia Berhad juga mendapati tiada panggilan keluar oleh pihak polis dibuat ke atas nombor yang dinyatakan pengadu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor