Razali Ibrahim


MUAR – Tindakan sekumpulan mahasiswa institusi pengajian tinggi yang membuang gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berpiket membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) disifatkan biadab.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, perbuatan itu sangat dikesali.

“Mahasiswa ini tidak boleh dipergunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

“Saya tidak merasakan mahasiswa ini hendak mengaibkan diri mereka sendiri dengan membuang gambar perdana menteri,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Jati Diri Belia di Dataran Tanjung Emas di sini, semalam.

Razali, yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, Najib dipilih melalui proses demokrasi dan sewajarnya dihormati serta disanjungi.


“Perbuatan mencela pemimpin negara adalah penghinaan terhadap institusi pentadbiran negara walaupun dilakukan atas nama kebebasan.

“Pihak berkuasa perlu siasat insiden ini supaya tidak berulang dan jika benar mereka melanggar peraturan serta undang-undang, maka mereka perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Razali berkata, mahasiswa dibenarkan terlibat dalam politik kerana kebanyakan belia pada usia mereka di luar IPT dan maktab juga terlibat dalam politik.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak menghalang ataupun menggalakkan mereka terlibat dalam politik kerana perlu memberi tumpuan penuh dalam pengajian.

Dalam pada itu, mengulas perancangan PKR untuk menawan Johor dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, beliau berkata, itu hanyalah retorik politik mereka untuk meraih sokongan. 

“Ini juga merupakan strategi pemimpin PKR untuk memenangi banyak kerusi dalam PRU berkenaan.

“Pihak pembangkang fikir mereka boleh menang di Johor dan sebab itu jugalah PKR kata Barisan Nasional (BN) di Johor akan berkubur dalam PRU kali ini,” katanya.

Menurutnya, pembangkang diingatkan jangan terlalu yakin menawan Johor selepas berjaya menguasai beberapa negeri dalam PRU lalu.