Pages
▼
Monday, July 18, 2011
Bas Bandar Jerantut
Bas bandar mula beroperasi di daerah ini awal bulan ini bagi memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan terlibat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, Syarikat Bas Sinar Pelangi Sdn. Bhd., diamanahkan untuk menguruskan operasi bas bandar itu.
''Operasi bas itu merupakan antara idea Majlis Daerah Jerantut (MDJ) yang wajar dipuji sejajar hasrat kerajaan negeri memacu sektor pelancongan daerah ini khususnya Taman Negara Kuala Tahan.
''Usaha itu juga memberi keselesaan penduduk khususnya warga emas dan orang kelainan Upaya (OKU) untuk berurusan di bandar ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi Bas Sinar Pelangi Sdn. Bhd, di sini kelmarin.
Hadir sama, Yang Dipertua MDJ, Datuk Mohamad Roslan Harun; Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzzaman dan Naib Ketua UMNO Jerantut, Datuk Nazri Ngah.
Operasi bas itu bermula di Terminal Baru Inderapura dan membabitkan laluan ke Sungai Jan, Jalan Tahan, Taman Koperasi, Perumahan Awam Kos Rendah Bandar Baru, pasar, Hospital Jerantut, Kompleks Pejabat Kerajaan, Taman Inderapura dan Taman Pedah Jaya.
Menurut Lee, usaha MDJ dan syarikat bas berkenaan antara pengisian agenda sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khususnya transformasi pengangkutan awam untuk merancakkan sektor pelancongan.
''Pengusaha bas terbabit bersetuju mengenakan tambang bernilai RM1.50 seorang untuk ke lokasi pilihan masing-masing dalam radius 15 kilometer sekitar kawasan bandar ini," katanya.
Jelasnya, kemudahan itu juga dapat menjana pertumbuhan sektor perniagaan apabila penduduk dan pelancong lebih mudah bergerak ke hotel penginapan dan premis perniagaan.
Sementara itu, Wan Norizan berkata, perkhidmatan pengangkutan itu akan menambah keceriaan bandar itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor