Pages

Monday, July 18, 2011

Saudara Baru Orang Asli Dirai Ikut Adat Persandingan Melayu


Tiga pasangan saudara baru Orang Asli diraikan dalam satu majlis perkahwinan mengikut adat persandingan masyarakat Melayu di Kampung Bangkong di sini, baru-baru ini.

Pasangan pengantin dari suku kaum Semok itu ialah Atan Jali, 30, dan Rokiah Lahang, 20; Atan Semo, 20, dan Lala Lembong, 19, serta Silu Hijau, 25, dan Salmi Adnan, 18.

Majlis tersebut dianjurkan oleh pejabat agama Islam daerah dan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) cawangan Jengka.

Pada majlis itu, pasangan terbabit bukan sahaja dijamu dengan makan beradat malah turut dimeriahkan dengan paluan kompang oleh Badan Warisan Budaya Sri Rampai dari Sungai Tekam Getah dekat sini.

Persandingan mereka turut diiringi dengan nyanyian marhaban dan berzanji.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.

Atan ketika ditemui berkata, dia dan isterinya merasa bertuah kerana diraikan dengan adat dan budaya orang Melayu.

"Saya terharu kerana saudara mara saya dapat melihat perkahwinan saya dan isteri diraikan dengan adat yang berbeza.

"Kalau dahulu setiap perkahwinan masyarakat kami akan diraikan dengan sewang tetapi kali ini adalah berlainan apabila kami diberi peluang bersanding dan makan beradat," katanya.

Bagi Silu, dia dan pasangannya tidak menyangka diraikan dalam adat istiadat masyarakat Melayu.

"Saya dan isteri tidak menyangka diraikan begini namun merasa bertuah kerana tidak semua rakan-rakan berpeluang seperti ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor