PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri mengajak rakyat Malaysia untuk memulakan tahun 2017 dengan membuka lembaran pemikiran yang lebih segar.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ia bagi menjadikan masyarakat lebih kental, gigih dan bersemangat waja dalam mengharungi apa jua cabaran, demi membawa Malaysia ke arah negara yang lebih cemerlang.
"Semangat itu juga akan menjadikan kita, warga yang mahu mengekalkan keharmonian dengan perasaan saling menyayangi dan menghargai keamanan serta perpaduan dalam kalangan kita, sekali gus mengekalkan imej Malaysia sebagai negara contoh dan disegani di seluruh pelosok dunia," katanya.
Menurutnya gagasan kesinambungan daripada Wawasan 2020, iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50), memperlihatkan keseriusan dan komitmen Kerajaan menyediakan generasi baharu yang berjaya dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Nancy berkata, TN50 bakal memeta hala tuju negara berteraskan suara rakyat dan akan digerakkan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana nasional yang diputuskan Kabinet.
"Saya berasa amat bangga dan teruja dengan gagasan TN50 kerana ia bakal membawa pembaharuan dari akar umbi terutama sekali generasi muda yang akan memiliki negara ini suatu hari ini," katanya.
Sumber - Bernama
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor