Pages

Monday, January 2, 2017

ISYARAT HIMPUNAN DERITA RAKYAT PAS

Isyarat kepada Umno dan BN



SUNGAI PETANI - Kehadiran lebih 5,000 orang di Himpunan Derita Rakyat 2.0 yang berlangsung Taman Sri Pinang, Tikam Batu, di sini, kelmarin, memberi isyarat kepada Umno dan BN.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, jumlah kehadiran itu adalah salah satu isyarat kepada kerajaan negeri Kedah dan kepimpinan Umno, BN agar tidak melakukan sesuatu perkara yang secara sewenang-wenangnya. 

Menurutnya, himpunan besar-besar menjelang tahun 2017 adalah tanda isyarat besar dari rakyat kepada kerajaan yang gagal bertindak sebagai sebuah kerajaan yang baik dan berkesan.

“Petanda awal adalah baik untuk rakyat membuat keputusan bijak dengan memilih parti politik yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional menerusi undipada PRU14 nanti,” katanya, selepas berucap pada Himpunan Derita Rakyat 2.0.

Hadir sama, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abd Hamid dan Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi dan barisan pemimpin Pas negeri.

Idris berkata, kerajaan yang ada sekarang bertindak lebih menyampaikan pelbagai sumbangan kepada golongan miskin di mana sepatutnya tugas kerajaan adalah menyediakan jalan keluar kepada kemelut kemiskinan bukan pemberian bersifat sementara.

Katanya, pemimpin BN sangat selesa, menikmati pelbagai elaun dan kemudahan dengan menjawat jawatan dalam kerajaan.

“Malah, mereka sebagai wakil ataupun suara rakyat tidak merasai denyut kepayahan dan keperitan rakyat bawahan. Oleh itu saya yakin kehadiran rakyat ke himpunan hari ini akan memberi isyarat kepada pemimpin Umno/BN tidak lagi layak memerintah,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan pada himpunan itu, beliau juga meminta orang ramai menjadi suara penerangan menyampaikan maklumat mengenai derita rakyat dan bangkitkan kepada masyarakat terdekat.

“Marilah sama-sama berusaha menjadi suara penerangan untuk disampaikan kepada masyarakat di kampung kita, rumah kenduri, kedai kopi atau di mana-mana kita berada untuk menjadikan parlimen rakyat dalam ber sama-sama bangkit menolak Umno/BN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap rakyat mempunyai tekad dan keazaman untuk memastikan kepimpinan negara dan negeri ini berubah kepada parti yang boleh dibangunkan dengan pembangunan insan yang berasakan pembangunan takwa kepada ALLAH SWT.

“Maka, Insya-ALLAH, kita akan wujudkan sebuah negara aman dan makmur yang akan mendapat keampunan daripada ALLAH SWT. 

"Pas buktikan di Kelantan semalam 26 tahun, kita memerintah di sana dengan kesempitan kewangan tetapi kita mampu. Sudah tentulah, kekuatan asas ketakwaan ini boleh bawa rakyat ke arah kesejahteraan dan kedamaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor