Pages

Thursday, January 5, 2017

ANAK MUDA DAN MEDIA SOSIAL: APA MEREKA MAHU?


Kejar populariti sampai sanggup gadai nyawa?


Kegilaan anak muda kini dengan media sosial tidak dapat dinafikan apatah lagi dengan kecanggihan teknologi seperti telefon pintar membolehkan mereka mendapat akses internet pada bila-bila masa sahaja.

Baru beberapa hari kita membuka lembaran baru tahun 2017, negara dikejutkan dengan aksi sekumpulan anak muda yang memanjat papan tanda Ipoh serta memuat naik gambar tersebut di media sosial.

Sebelum ini kita menyaksikan kegilaan anak-anak muda memuat naik pelbagai gambar makanan (di kafe hispter) serta gambar majlis Graduasi yang unik (dalam air, di atas bukit, Harry Potter stail) semua ini kemudiannya menjadi ikutan ramai serta masing-masing berlumba untuk tampil dengan aksi yang berbeza.

Laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Tumble, Pinterest dan banyak lagi menjadi medium mereka berkongsi gambar-gambar dan pengalaman mereka untuk mendapatkan banyak ‘like’.

Apa sudah jadi dengan anak muda kita? Adakah mereka ini hidup hanya untuk ‘upload’ gambar di dalam media sosial sahaja? Adakah ‘like’ itu menentukan tahap populariti mereka?

Pakar Kaunseling dan Psikologi, Profesor Madya Dr Ruhani Mat Min berkata bahawa anak-anak muda kini sangat terpengaruh dengan media sosial hinggakan ia dijadikan penanda aras dalam menentukan siapa lebih hebat.

“Zaman dah berubah, hari ini media sosial dijadikan tempat rujukan mereka serta untuk menunjukkan kehebatan masing-masing.

“Selain itu, mereka ini mudah tertarik untuk mencuba benda-benda baru yang tidak dibuat orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Ingin pengiktirafan

Tambahnya lagi, tindak-tanduk anak-anak muda ini hanyalah kerana inginkan pengiktirafan dari orang lain.

“Semua orang kalau boleh inginkan pengiktirafan cuma zaman kini caranya berbeza, pada pendapat mereka jika punyai banyak ‘like’ di media sosial maka bagi dirinya aksinya itu diiktiraf.

“Disebabkan itulah kita lihat kini anak muda sanggup melakukan tindakan ekstrem untuk mendapatkan pengiktirafan yang sepatutnya,” tambahnya.

Mudah terikut

Dengan teknologi dunia di hujung jari, anak-anak muda sangat mudah terikut dengan apa yang mereka lihat di internet seterusnya membuatkan ada perasaan ingin mencuba.

“Mereka ini hanya memandang kepada keseronokan semata-mata dan tidak berfikir panjang akan kesan tindakan mereka ini.

“Apa yang mereka buat ini semuanya hasil daripada video-video dan gambar-gambar yang diwar-warkan di internet,” katanya lagi.

Menurutnya, perkara ini berlanjutan ia kan memberikan ancaman tidak hanya pada anak-anak muda tetapi juga pada orang lain.

“Perkara ini tidak wajar dibiarkan berterusan kerana ia akan memberikan kesan pada diri sendiri dan juga ancaman pada orang lain,” tambahnya.

Penguasaan undang-undang

Sementara itu, beliau merasakan penguatkuasaan undang-undang wajar dibuat kepada mereka yang membuat aksi-aksi yang membahayakan ini.

“Dengan penguatkuasaan undang-undang ini boleh menjadi mesej kepada semua anak-anak muda di luar sana untuk tidak membuat aksi-aksi merbahaya ini.

“Melalui cara ini, ancaman dapat diatasi dan akan timbul kesedaran dalam diri anak-anak muda ini untuk muhasabah diri mengenai perbuatan mereka itu,” katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor