Pages

Sunday, September 6, 2020

PEMBALAKAN SUNGAI GAPOI, BENTONG- KENYATAAN MEDIA

                  


KENYATAAN MEDIA

Maklum-balas Mengenai Bantahan Penduduk Ekoran Aktiviti Pembalakan Sungai Gapoi, Bentong

 

 Susulan bantahan penduduk mengenai aktiviti pembalakan di kawasan Tanah Kerajaan Sungai Gapoi, Bentong baru-baru ini, tinjauan mendapati kawasan pembalakan terlibat ialah kawasan Tanah Kerajaan seluas 674.9 hektar yang telah Kerajaan Negeri luluskan sejak 2015 kepada Syarikat Sri Jengka Sdn. Bhd. untuk projek pertanian kelapa sawit berdasarkan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) bil. ke-7/2015 bertarikh 25 Februari 2015.

 

Aktiviti pembalakan kemudiannya diluluskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melalui kelulusan secara dasar pada tahun 2013 dan MMK pada tahun 2015 melibatkan empat (4) lesen berkeluasan 257.5 hektar yang dilaksana secara berperingkat bermula pada 1 Disember 2019 sehingga kini.

 

Keempat-empat kawasan lesen ini terletak berhampiran antara satu sama lain, dan berkongsi balai pemeriksaan hutan sementara, matau serta penempatan pekerja.

 

Tinjauan pada 1 September 2020 juga mendapati, dakwaan bahawa aktiviti pembalakan di kawasan ini telah menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong adalah kurang tepat, kerana air sungai tersebut masih jernih.

 

Walaupun kawasan ini melibatkan aktiviti pembalakan secara tebang habis tetapi JPNP menetapkan syarat supaya kawasan zon penampan alur air untuk sungai masih tidak dibenarkan aktiviti penebangan pokok. 

 

Tinjauan juga mendapati pelesen masih mematuhi syarat-syarat ini cuma sebahagian kecil kawasan sungai yang terdapat sisa pembalakan di dalamnya.

 

Tinjauan juga dibuat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gapoi dan mendapati air sungai masih jernih dan dalam, khususnya di bahagian muka sauknya. Temubual dengan pekerja Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) di situ turut mengesahkan, tiada kes penutupan operasi loji akibat pencemaran sungai.

 

Laporan aduan awam yang diterima JPNP juga telah disemak dan mendapati tiada aduan mahupun bantahan terutamanya oleh masyarakat Orang Asli Kampung Gapoi iaitu pertempatan paling hampir dengan kawasan pembalakan ini.

 

Sungguhpun begitu, JPNP mengulangi ingatannya kepada pihak pelesen supaya mengambil tindakan penyelenggaraan lebih kerap terutamanya yang melibatkan jalan pengeluaran hutan dan zon penampan alur air, demi mengurangkan impak kepada alam sekitar kawasan terlibat.

 

Pelesen juga telah diarahkan supaya memperbanyakkan papan tanda berkaitan lesen pengusahasilan yang aktif di kawasan ini, bagi mengelakkan persepsi negatif oleh orang awam.

 

 

Dikeluarkan oleh ;

 

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP)

Kompleks Tun Razak (KOMTUR)

Indera Mahkota

Kuantan

5 September 2020

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor