Lima setiausaha agung parti yang menyokong kerajaan
Perikatan Nasional berceramah sepentas bagi membantu kempen calon BN dlm PRK
Slim di Felda Trolak Utara malam tadi. Dari kiri Setiausaha Agung MCA Chong Sin
Woon, Hamzah Zainuddin (PPBM), Annuar Musa (BN), Takiyuddin Hassan (PAS) dan
Asojan Muniyandi (MIC). (Gambar Bernama)
TANJUNG MALIM: Lima setiausaha agung parti yang menyokong
kerajaan Perikatan Nasional (PN) buat julung kalinya berada sepentas bagi
berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, malam
tadi.
Mereka ialah setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar
Musa, Hamzah Zainuddin (PPBM), Takiyuddin Hassan (PAS), Chong Sin Woon (MCA)
dan M Asojan (MIC).
Ceramah di Dewan Serba guna Felda Trolak Utara itu antaranya
berkisar mengenai kerjasama parti komponen PN yang dilakukan bagi menyelamatkan
masa depan negara daripada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang tidak
disenangi rakyat.
Annuar berkata, agenda rakyat yang dijanjikan tidak dapat
dilaksanakan ketika pemerintahan PH, tetapi kini kesemua pemimpin dalam
kerajaan PN bekerjasama berkongsi pengalaman dalam membantu Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin mentadbir negara.
“Negara mesti diselamatkan, negara perlu ada nakhoda dan
kerosakan dibuat PH mesti dibetulkan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah menjelaskan bahawa PPBM terpaksa
berkorban sehingga digelar pengkhianat kerana meninggalkan PH demi
menyelamatkan negara selepas 22 bulan di bawah pentadbiran PH.
“Kami berkorban untuk menjadi penyelamat, untuk menentukan
kuasa membela rakyat, bukan pengkhianat seperti didakwa,” katanya.
Chong dah Asojan pula masing-masing menyifatkan pentadbiran
PN terbukti membawa Malaysia ke arah lebih baik meskipun diuji dengan wabak
Covid-19 dengan mengambil tindakan berani, termasuk melaksanakan perintah
kawalan pergerakan (PKP).
Ini disokong oleh Takiyuddin yang meminta rakyat di DUN
Slim, khususnya penyokong PAS, agar mengundi calon BN Mohd Zaidi Aziz bagi
meneruskan agenda membela rakyat.
SUMBER : BERNAMA / FMT
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor