Pages

Wednesday, July 1, 2020

“MEMANG DAH ‘CONFIRM’ BALIK UNDI BN” TOK BATIN




PEKAN, 1 Julai – “Memang dah ‘confirm’ (pasti) balik mengundi BN,” kata Tok Batin Kampung Tanah Merah, Yusof Komeng, 58.


Demikian kata Yusof yang penuh yakin dan bersemangat memberitahu masyarakat di penempatannya sama ada yang tinggal di kampung tersebut atau berada di luar kawasan akan mengundi Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Sabtu ini.


Jelasnya, memang sejak dahulu lagi masyarakat di kampungnya memberi kepercayaan kepada BN dan sokongan tersebut tetap utuh sehingga kini.


“Kalau mengikut dari dulu di tempat saya ini calon BN ini tidak ada masalah. Kitorang dah tahu dah budi bicara itu ini semua. Saya dah beritahu anak-anak buah saya jangan pilih yang lain, ikut yang dulu (BN).


“Memang pilihan dari dulu dah, takde pilihan yang lain,” katanya.


Berhubung dengan kredibiliti calon BN, Mohd Sharim Md Zain, Yusof berkata cara pembawakan dan pergaulannya tidak ubah seperti bekas ADUN Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang mesra dan mudah didampingi.


“Calon itu saya tengok keadaan dia memang okay, cara dia macam arwah dulu.. saya lahir sini tahun 1962, saya dah tahu dan faham ada yang baik ada yang tak baik, bila saya tengok keadaan orang pun saya dah tahu dah budi bicara,” ujarnya.


Tambahnya juga, maklumat bagi pengundi luar juga telah diperolehi dan dikenalpasti selain segala urusan mobilisasi pengundi telah diaturkan untuk hari pengundian pada 4 Julai nanti.


PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian Abu Bakar pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.


BN menampilkan Mohd Sharim Md Zain, 41, generasi kedua Felda Chini 3 yang merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan serta pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.


Mohd Sharim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat dicabar dua calon Bebas.


Usahawan muda itu amat menyanjung tinggi Allahyarham Abu Bakar, yang digelarnya sebagai ‘ayahanda’ dan ‘mentor’ dalam kepimpinan dan seterusnya mampu menjadi penyambung legasi perjuangan penyandang DUN Chini itu.



SUMBER  – UMNO ONLINE

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor