PEKAN, 30 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir
Khalid menyeru jentera Barisan Nasional (BN) agar terus berusaha dengan lebih
keras dalam menjalankan aktiviti berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Ini kerana katanya, agar BN yang dibantu rakan Muafakat
Nasional dari PAS dan rakan parti-parti yang lain mampu mencapai satu keputusan
di tahap paling maksimum.
“Dan pada masa yang sama kita janganlah leka, teruskan usaha
dan yang penting sekali kita dapat memaksimumkan pengundi-pengundi dapat keluar
mengundi pada 4 Julai nanti. Sebabnya kita tak nak ada di kalangan kita yang
rasa selesa dan akhirnya di kalangan kita ada yang terabai dan ramai yang tidak
keluar mengundi.
“Kepada seluruh jentera BN yang sedang bertugas, anda semua
berada di tahap terbaik dan teruskan usaha ini untuk membolehkan kita menemui
semua pengundi dalam DUN Chini.
“Saya berharap (BN) dapat menemui seramai mungkin kerana
kita tahu pengundi di DUN Chini lebih kurang 20 ribu di mana lapan ribu
pengundi luar dan 12 ribu yang berada di dalam DUN,” ujarnya .
Tambah Ahli Parlimen Padang Terap itu, apa yang paling
penting dengan usaha keras tersebut juga sebagai satu isyarat bahawa BN masih
menjadi pilihan rakyat dan tanda solidariti serta utuhnya perpaduan di kalangan
rakan-rakan parti.
Berhubung dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP)
dan garis panduan yang ditetapkan sepanjang berkempen di musim Perintah Kawalan
Pergerakan Pemulihan (PKPP), Pengerusi TNB itu berkata jentera BN tetap
mempunyai semangat yang cukup tinggi.
“Saya dapati bahawa jentera BN berada pada tahap yang cukup
tinggi untuk membuat kempen dari rumah ke rumah dan juga melalui penerangan
isu-isu semasa oleh tokoh-tokoh yang telah diberi tanggungjawab untuk
menyampaikan syarahan mereka sama ada petang ataupun malam.
“Namun begitu saya dapati bahawa semua peraturan atau SOP
yang berkaitan dengan COVID-19 ini mereka patuhi terutama dalam melibatkan
ucapan dalam dewan-dewan ataupun di rumah dari segi penjarakan sosial.
“Oleh yang demikian saya berharap bahawa kita mematuhi semua
peraturan yang diarahkan oleh kerajaan,” katanya.
Mahdzir juga menyeru pengundi-pengundi yang berada di luar
kawasan Chini untuk pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan
sama-sama menyumbang undi kepada BN bagi mendapatkan jumlah majoriti yang
terbaik.
Mengulas lanjut, Mahdzir juga menyeru pengundi menolak sama
sekali calon Bebas kerana mereka sebenarnya tidak mampu menawarkan perkhidmatan
terbaik untuk rakyat dan bertanding hanya disebabkan manifestasi kekecewaan
mereka sahaja.
Calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, generasi kedua Felda
Chini 3 yang juga Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia
Felda Wilayah Kuantan dicabar penentangnya dari dua orang calon Bebas.
SUMBER – UMNO
ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor