Pages

Wednesday, July 15, 2020

FELDA 2.0 KELUARKAN LEBIH 400 RIBU RAKYAT DARI KEPOMPONG KEMISKINAN – AHMAD MAZLAN






KUALA LUMPUR, 15 Julai – Cadangan penubuhan Felda 2.0, Prihatin Keluarga dan briged niaga merupakan lontaran idea Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada kerajaan bagi membasmi kemiskinan tegar yang kini semakin meningkat bilangannya akibat pentakrifan baharu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara.


Dilahirkan dan dibesarkan di dalam keluarga yang miskin menyebabkan Setiausaha Agung UMNO itu begitu teruja membantu golongan terbabit keluar dari kepompong tersebut.


Katanya juga, membasmi kemiskinan merupakan ‘jihadul akbar’ (jihad yang besar) dan hadis Nabi Muhammad SAW juga telah mengingatkan bahawa kemiskinan menghampiri kekufuran.


Mengulas lanjut, Ahmad berkata dengan kewujudan Felda 2.0 ia mampu menyelamatkan 405,441 isi rumah dari belenggu kemiskinan dan berkemungkinan negara akan sifar kemiskinan.


“Maka saya mencadangkan supaya ada Felda 2.0. Kita ada tanah-tanah yang banyak lagi, bagi lima ekar kepada 405,441 isi rumah yang 10 peratus rakyat paling bawah dan tapak rumah, automatik kosong (peratus) rakyat yang termiskin.


“Macam Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua) bagi 112 ribu lebih keluarga sepuluh ekar tanah, suku ekar tapak rumah. Saya tak tahu dari mana Allahyarham dapat ilham, tentunya dari Allah SWT sebab tidak pernah berlaku pada tahun 1956/57 sebelum merdeka dah dicadangkan. 112 ribu rakyat tidak lagi miskin berada di dalam Felda.


“Bayangkan jika kita beri lima ekar untuk 405 ribu ini, insya-Allah segala kemiskinan sifar,” katanya dalam segmen Dari Parlimen bersamanya yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Selasa malam.


Pada siangnya di Dewan Rakyat, Ahmad membentangkan 55 buah fikirannya ketika mencadangkan usul ucapan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.


Jelasnya lagi, penggunaan tanah tersebut hendaklah digunakan secara optimum dan maksimum dengan kaedah-kaedah pertanian yang terkini, moden, bersepadu dan tidak terhad kepada tanaman utama sahaja.


Ahmad juga mengalu-alukan syarikat-syarikat besar yang mahu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat membantu kerajaan bagi merealisasikannya.


Satu lagi cadangan untuk keluarkan rakyat dari kepompong kemiskinan ujarnya ialah Prihatin Keluarga iaitu dua orang daripada setiap keluarga yang miskin akan dibantu dan dijadikan anak angkat kerajaan.


Berhubung dengan PGK yang telah dinaikkan daripada paras RM980 kepada RM2,208, katanya ia telah memberi kesan yang cukup besar kerana jumlah 10 peratus terbawah pendapatan isi rumah daripada 16,653 orang melonjak kepada 405,441 orang.


Oleh kerana itulah juga gesanya, revolusi minda amat diperlukan supaya dapat melahirkan bangsa usahawan di kalangan Bumiputera, misalnya dengan penubuhan briged niaga.


“Yang saya minta ialah supaya berlaku revolusi terhadap kaedah kita memilih pekerjaan. Orang Melayu sentiasa nak makan gaji, saya kata revolusi itu ialah supaya kita menjadi usahawan, revolusikan; perubahan yang besar yang mendadak secara cepat, perubahan yang drastik.


“Revolusi terhadap bangsa Bumiputera, cara berfikir dan bertindak supaya menjadi bangsa usahawan. Saya juga mencadangkan briged niaga…mempunyai disiplin, kepakaran dan kemahiran dalam cabaran berniaga, seperti briged niaga online, briged niaga muda, wanita, antarabangsa, inovasi.


“Kalau kita tidak membuat sesuatu untuk merevolusikan segala gerak kerja kita, tidak menggunakan lonjakan berganda secara revolusi untuk mengubah masyarakat kita, maka kita tidak akan berjaya,” tegasnya lagi.


Dalam segmen Dari Parlimen itu juga, Ahmad yang sebelum ini pernah bertugas sebagai timbalan menteri di beberapa kementerian berkata pernah wujud cadangan penubuhan ‘Al-Quran Village’ (Perkampungan Al-Quran) di Putrajaya.


“Cadangan Yayasan Restu, sudah dibawa kepada menteri JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Kementerian Wilayah, Perbadanan Putrajaya dan ke pengetahuan perdana menteri, iaitu ‘Al-Quran Village’ dengan komponen-komponen tertentu di sebelah pusat percetakan Al-Quran yang ada sekarang ini di Presint 14, Putrajaya, ada tanah 22 ekar dengan masjid.


“Ini satu tarikan antarabangsa kepada negara kita. Kita sudah ada pusat percetakan Al-Quran kedua terbesar dalam dunia selepas Arab Saudi. Wujud sebuah masjid ketiga Putrajaya dan di setiap dinding ada 624 panel muka surat Al-Quran lengkap,” katanya.


Seterusnya, Ahmad turut ditanya oleh moderator, Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid adakah wajar diperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).


“170 daripada 194 negara melaksanakan GST. Bodoh ke 170 negara itu? Dari segi logik akal. Saya rasa bodoh yang tarik balik,” sinisnya.


Untuk rekod, pada tahun 2015, negara memperkenalkan GST dengan kadar enam peratus, sebuah sistem cukai yang efisen bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar sepuluh peratus.


Setelah Pakatan Harapan (PH) memerintah pada 2018, mereka mansuhkan GST dan kembali kepada cukai regresif itu, cukai yang mempunyai banyak kelemahan dan kelompongan hingga menyebabkan negara kehilangan hasil berpuluh bilion.


SUMBER  – UMNO ONLINE




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor