Pages

Monday, June 8, 2020

PRK CHINI : ADA ATAU TIDAK UMNO PAHANG TIDAK AMBIL MUDAH




KUALA LUMPUR, 8 Jun – 20 Jun depan merupakan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan pelbagai pihak telah menyatakan pandangan mereka terhadap PRK berkenaan.


Bagi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail persediaan ke arah itu tetap dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai faktor dan kemungkinan yang akan berlaku kelak.


“PRK Chini seperti mana yang kita sedia maklum bahawa pada 20 hari bulan ini ialah penamaan calon, di DUN Chini sebelum ini adalah dari BN jadi sudah tentulah BN akan mempertahankan kedudukan DUN Chini.


“Jadi, untuk tujuan itu Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang (BPUN) telah pun bersiap siaga untuk menghadapi PRK sama ada, ada pertandingan atau tidak tapi kita sentiasa bersiap sedia dan perkara-perkara ini kerja-kerja awalan, meninjau keadaan di sana dan sebagainya memang telah kita laksanakan.


“Sebelum ini Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun telah memberikan perkhidmatan yang sangat baik di Dun Chini dan kita dapat lihat setelah empat kali bertanding Allahyarham mendapat sokongan yang sangat tinggi daripada pengundi-pengundi Dun Chini. Buat masa ini bila ada kekosongan BPUN dan Kerajaan Negeri juga telah melihat untuk membantu apa-apa yang masih belum diselesaikan atau mana yang boleh kita selesaikan cuba selesaikan dengan kadar segera,” katanya.


Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan BN negeri seterusnya menambah seperti mana yang semua tahu terdapat dalam facebook, media sosial dan banyak pertubuhan-pertubuhan NGO yang telah menyeru atau pun mengeluarkan pandangan masing-masing supaya tidak adanya pertandingan kerana jika dilihat sokongan kepada BN begitu tinggi di Dun Chini ini.


“Jadi…saya harap pihak di sebelah sana mungkin boleh memikirkannnya untuk mengambil perhatian mendengar rintihan dari pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.


“Seperti mana yang saya katakan mungkin dengan ini tidak akan mengubah apa-apa keadaan pun sebagai kerajaan negeri Pahang.


“Dan, jadi kalau tidak ada pertandingan kita dapat menjaga keselamatan kita kerana COVID- 19 dan dalam masa yang sama kita dapat menjimatkan duit kerajaan, kerana kita tahu bila ada PRK, SPR akan membelanja sejumlah peruntukan yang cukup besar sekali,” ujarnya.


Pada masa yang sama beliau menyatakan bahawa BN negeri tidak mengambil jalan yang selesa berkenaan perkara tersebut.


“Kita tidak akan mengambil sesekali jalan mudah atau pun kita dah terlalu yakin kerana terus bersiap sedia untuk menghadapi PRK dan kita akan teruskan malah sekarang ini saya telah mengingatkan semua jentera parti seolah-olah ada pertandingan. Sehingga hari ini kita anggap ada pertandingan.


“Maknanya kita tidak perlu atau arah, kita ‘relax’ dulu mungkin tak ada pertandingan…tidak. Persiapan kita seolah-olah ada pertandingan,” tambahnya.


Sebelum ini, dalam satu kenyataan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memohon kerjasama semua pihak khususnya parti-parti politik serta calon Bebas agar memberi laluan kepada penyandang/calon Barisan Nasional (BN)/UMNO untuk menang tanpa bertanding pada PRK tersebut.



SUMBER: UMNO ONLINE

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor