PEKAN - Pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk
Sungai Mentiga dijangka dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang
dialami lebih 33,000 penduduk di beberapa kawasan di Chini di sini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
berkata, kerja-kerja pembinaan tersebut dijadualkan bermula pada September
depan.
Menurutnya, projek tersebut bakal memanfaatkan penduduk di
sekitar Felda Chini, Paloh Hinai, Kampung Mambang, Kampung Padang Rumbia dan
Gumum.
"Kini proses panggilan tender akan dibuat pada bulan
ini (Jun) oleh pihak Felda.
"Projek pembinaan ORS dijangka bermula pada September
ini dan proses pembinaan mengambil masa selama 12 bulan," katanya ketika
membuat lawatan ke tapak Projek ORS Loji Rawatan Air Chini di sini semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr
Sallehuddin Ishak; Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Parlimen
Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Wan Rosdy (tengah) bersama Najib (dua dari kanan)
menunjukkan lokasi pembinaan ORS di muka sauk Sungai Mentiga, Pekan yang
dijadualkan bermula pada September depan.
Wan Rosdy berkata, pembinaan kolam takungan berkenaan
melibatkan peruntukan dana sebanyak RM18 juta yang telah diluluskan kerajaan
Persekutuan pada tahun 2017 namun berlaku kelewatan semasa pemerintahan Pakatan
Harapan.
Katanya, ORS yang bakal dibina itu berkemungkinan melibatkan
saiz lebih besar berbanding yang diperuntukkan sebelum ini selepas mendapat
persetujuan daripada Pengerusi Felda.
"Saiz diperuntukkan sebelum ini mampu menampung bekalan
air selama 11 hari sahaja semasa musim kemarau.
"Saya telah meminta supaya membina ORS yang saiznya
boleh menampung bekalan air hingga 22 hari semasa musim kemarau, jadi Pengerusi
Felda yang hadir bersetuju untuk usahakan dengan peruntukan yang lebih
ini," kata beliau.
SUMBER : FACEBOOK : WAN ROSDY DAN SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor