PEKAN, 22 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain akan
berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia.
Katanya, setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh rakyat
akan diperhalusi dan ia menjadi suatu indeks pencapaian utama (KPI) kepada
dirinya sekiranya terpilih sebagai ADUN di kawasan tersebut.
“Matlamat saya selaku orang muda, pertama saya meletakkan
diri saya kepada orang yang lebih lama, maksudnya ‘orang lama disantuni, yang
muda disayangi’.
“Itulah matlamat kita dan kita akan terus mendengar
keluh-kesah semua lapisan masyarakat dan saya ambil sebagai KPI saya untuk
gerak kerja sebagai wakil rakyat di masa hadapan.
“Jadi bagi saya, pastinya pengundi-pengundi memerlukan
kepercayaan parti yang betul-betul boleh membela nasib rakyat di DUN Chini
ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan ziarah kasih di Felda Chini 5,
di sini petang tadi.
Turut sama Ketua Pemuda PAS Felda Chini 3, Ustaz Mohammad
Iqbal Abd Majid yang juga merupakan Imam Masjid Felda Chini 3.
Ketika ditanya mengenai penerimaan masyarakat sepanjang
berkempen yang memasuki hari ketiga, Mohd Sharim gembira dengan reaksi positif
masyarakat.
“Bagi saya pada hari ini apabila turun (berkempen),
Alhamdulillah seratus peratus mengenali diri saya dan saya meraih penuh restu
dan sokongan masyarakat bagi memastikan kejayaan BN di N.23 Chini,” kata
generasi kedua Felda itu lagi.
Berhubung dengan isu bekalan lampu jalan di jalan utama
sepanjang 26 kilometer yang terputus, Mohd Sharim berkata masalah itu timbul
kerana ia melibatkan tunggakan pembayaran bil yang ditanggung oleh peneroka dan
beliau akan memperhalusi perkara tersebut bersama pihak Tenaga Nasional Berhad
dan Kerajaan Negeri Pahang kerana ia melibatkan keselamatan pengguna.
Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 merupakan Naib
Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan
selain Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan
Felda Chini 3 Berkat.
Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda
Wilayah Kuantan.
SUMBER – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor