Susulan pelbagai aduan yang Kerajaan Negeri terima berkaitan
kebajikan pekerja-pekerja Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di Taman
Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng dekat sini, lawatan
mengejut oleh Pasukan Petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri telah dibuat ke ke kilang itu pada 12 Mei 2020.
Selain bertujuan memeriksa tahap kepatuhan syarikat
berkenaan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah Kerajaan tetapkan
dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung
penularan wabak pandemik COVID-19;
Berikut kenyataan media oleh DATO’ SRI MOHD JOHARI HUSSAIN
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan
Badan-badan Bukan Kerajaan hari ini.
Lawatan mengejut ini juga bertujuan menyemak-balas terhadap
beberapa lagi aduan termasuk tiga (3) pilihan yang ASSB beri kepada
pekerja-pekerjanya iaitu –
1. Bersetuju
untuk bekerja dan dikuarantin di asrama yang ASSB sediakan.
2. Tidak
bersetuju untuk dikuarantin maka bercuti tanpa gaji.
3. Berhenti
kerja.
Pasukan Petugas ini dianggotai pelbagai pihak termasuk
Bahagian Kerajaan Tempatan di Pejabat SUK; Jabatan Kesihatan; Polis DiRaja
Malaysia (PDRM); Jabatan Tenaga Kerja (JTK); SIRIM Bhd; Jabatan Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI); Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Perbandaran Kuantan
(MPK).
Hasil lawatan mengejut ini, beberapa saranan telah dibuat
antaranya kemudahan di asrama mestilah ditambah-baik dan pekerja yang secara
sukarela hendak menginap di asrama sahaja dibenarkan berbuat demikian.
Susunan katil di asrama mesti mempunyai penjarakan 1 meter
di antaranya; dan peralatan serta bahan pencuci ‘sodium hypochlorite’ perlu
disediakan beserta arahan penggunaannya. Kerja-kerja pembersihan pula perlu
dilakukan secara berkala.
Mengenai tiga (3) pilihan yang diberi kepada pekerja-pekerja,
pihak ASSB diminta menilainya semula. ASSB juga diminta memastikan, semua
tindakannya berkaitan kebajikan pekerja mestilah dibuat setelah perbincangan
dan persetujuan oleh kedua-dua pihak – ASSB dan pekerja.
Sungguhpun dengan lawatan mengejut itu serta saranan-saranan
yang telah dibuat, Kerajaan Negeri mendapati isu berkaitan kebajikan
pekerja-pekerja syarikat/kilang berkenaan, masih lagi timbul.
Sehubungan itu, saya telah diminta oleh Menteri Besar Dato’
Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk berbincang lanjut dengan kedua-dua pihak bagi
mencari penyelesaian. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati segala usaha
Kerajaan Negeri dalam membela nasib pekerja dan rakyat Pahang, InsyaAllah.
DATO’ SRI MOHD JOHARI HUSSAIN
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan
Badan-badan Bukan Kerajaan
2 Jun 2020
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor